NEW YORK, 19 JUN – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam memaklumkan bahawa mereka telah merampas semula AS$225 juta, jumlah rampasan terbesar setakat ini berkaitan wang yang dicuri dalam penipuan pelaburan mata wang kripto.
Menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara AS, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Perkhidmatan Rahsia AS telah menggunakan analisis rantaian blok (blockchain) serta teknik siasatan lain untuk mengesan wang berkenaan, yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan mencuri dan pembersihan wang haram hasil penipuan pelaburan mata wang kripto. Tiada maklumat dinyatakan sama ada tangkapan telah dibuat.
Kenyataan itu menyebut bahawa berpuluh-puluh individu di AS dan lebih 400 mangsa di seluruh dunia menyangka mereka membuat pelaburan kripto yang sah, namun sebenarnya menjadi mangsa penipuan.
Skim tersebut melibatkan rangkaian pembersihan wang haram yang kompleks berasaskan teknologi blockchain, yang melaksanakan ratusan ribu transaksi untuk menyembunyikan sumber dan pemilikan wang yang dicuri.
“Penipuan seperti ini memperdaya dengan memanipulasi kepercayaan mangsa, yang sering kali berakhir dengan kesusahan kewangan yang teruk,” kata Shawn Bradstreet dari Pejabat Perkhidmatan Rahsia AS di San Francisco.
Pihak berkuasa AS berharap wang yang dirampas itu dapat dikembalikan kepada pemilik asalnya, tambahnya.
Menurut kenyataan tersebut, penipuan pelaburan mata wang kripto telah menyebabkan kerugian melebihi AS$5.8 bilion yang dilaporkan pada tahun 2024 sahaja. – AFP


