Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS rancang beli 11 kapal pemecah ais dari Finland

    WASHINGTON, 10 OKT – Amerika Syarikat (AS) merancang untuk membeli 11 buah kapal pemecah ais dari Finland, dengan kerja pembinaannya dijalankan di kedua-dua negara, umum Presiden Donald Trump di Rumah Putih kelmarin bersama rakan sejawatnya dari Finland, Alexander Stubb.

    “Kami mempunyai tempahan besar akan datang. Kami akan membeli kapal pemecah ais,” kata Trump di Pejabat Oval.

    Menurut Trump, di bawah perjanjian itu, empat kapal akan dibina di Finland, manakala tujuh lagi akan dibina di AS, langkah yang katanya akan membantu mengukuhkan peluang pekerjaan dan kepakaran dalam industri pembinaan kapal AS.

    “Apa yang awda lakukan adalah mengajar kami tentang perniagaan kapal pemecah ais,” beritahu Trump kepada Stubb di Pejabat Oval.

    “Kami membeli kapal pemecah ais terbaik di dunia dan Finland memang terkenal dalam pembinaannya,” tambah beliau, tanpa mendedahkan jumlah nilai pembelian tersebut.

    Terdahulu, Stubb mengumumkan di platform X beliau akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Trump, yang bakal ‘menjadi asas kepada perjanjian komersial antara Pengawal Pantai AS dan syarikat Finland’.

    Pada Ogos lalu, Pengawal Pantai AS telah merasmikan kapal pemecah ais baharu pertama dalam tempoh suku abad, yang diubah suai daripada kapal sokongan industri minyak.

    Ketika itu, agensi berkenaan menegaskan rantau artik kini menjadi ‘zon persaingan strategik global.’ – AFP

    Presiden AS, Donald Trump bertemu dengan Presiden Finland, Alexander Stubb di Pejabat Oval Rumah Putih di Washington pada 9 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda