Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS rancang bina dua kemudahan baiki bot di Filipina

    MANILA, 16 JULAI – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) merancang untuk membina dua kemudahan pembaikan untuk bot kecil yang beroperasi di barat Filipina, kata kedutaan AS hari ini.
     
    Laman web kontrak kerajaan AS mengongsikan salah satu kemudahan pembaikan yang dicadangkan di perbandaran Quezon wilayah Palawan.
     
    Kemudahan itu ‘akan menyediakan keupayaan pembaikan dan penyelenggaraan untuk pelbagai bot (Filipina) termasuk bot air 7.32 meter serta bot air konvensional yang lebih kecil,” kata notis bidaan untuk projek Quezon.
     
    Filipina memiliki beberapa buah bot sebesar itu, termasuk bot tempur atau Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) yang pernah terlibat dalam pertempuran dengan bot China yang lebih besar.
     
    Walaupun tidak dipercayai kemudahan tentera tetap sedia ada di Quezon, kawasan itu telah menjadi tuan rumah sebahagian daripada latihan ketenteraan bersama AS-Filipina sejak dua tahun lalu.
     
    Kedutaan AS di Manila mengesahkan hari ini tender bagi kedua-dua projek Quezon dan projek serupa yang akan dibina di kemudahan tentera laut Filipina Oyster Bay sedia ada kira-kira 130km ke utara.
     
    Bagaimanapun, pegawai dari Jabatan Pertahanan Filipina tidak segera memberikan komen. 
     
    Laksamana bersara Filipina, Rommel Jude Ong, yang kini merupakan penganalisis ketenteraan di Universiti Ateneo de Manila, memberitahu AFP bahawa kemudahan tersebut boleh digunakan “untuk RHIB (Rigid-Hulled Inflatable Boats), tetapi lebih berkemungkinan untuk bot getah kecil yang digunakan bagi menghantar bekalan ke kawasan yang diduduki.” – AFP
     
    Gambar bertarikh 7 Jun 2025 menunjukkan kemudahan tentera laut Teluk Oyster di wilayah Palawan, Barat Manila. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda