Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    AS rancang tingkat pelancong asing

    WASHINGTON, 7 JUN – Dalam usaha bagi menaikkan semula pendapatan pelancongan berbilion dolar yang hilang semasa pandemik COVID, kerajaan AS kelmarin telah melancarkan rancangan bagi menarik seramai 90 juta pelancong antarabangsa dalam setahun.

    Pelan lima tahun itu bertujuan menambah pekerjaan dan membawa masuk anggaran AS$279 bilion setahun dalam perbelanjaan daripada lawatan pelancong, kata Jabatan Perdagangan.

    “Impak COVID telah menjejaskan ekonomi negara dan tempatan kita, tetapi ia juga telah memberikan kita peluang unik untuk membentuk industri pelancongan dan pengembaraan yang lebih inklusif, saksama, mampan dan berdaya tahan berbanding sebelum ini,” kata setiausaha perdagangan, Gina Raimondo dalam satu kenyataan.

    Sebelum wabak melanda, perjalanan dan pelancongan menjana lebihan perdagangan sebanyak AS$53.4 bilion dan menyokong sebanyak sejuta pekerjaan AS, tambah kenyataan tersebut.

    Strategi Pelancongan dan Perjalanan Nasional selama lima tahun akan menumpukan pada peningkatan promosi destinasi AS, terutamanya ke kawasan yang kurang dikunjungi serta meningkatkan komunikasi tentang status dan keperluan kesihatan.

    Ia juga akan menawarkan bantuan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menambah baik infrastruktur di tapak pelancongan, dan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan tanpa pencemaran serta menggunakan teknologi untuk melancarkan perjalanan di kawasan dengan keselamatan dan pemeriksaan, menurut rancangan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...