SYDNEY, 6 JAN – Coco Gauff tampil cemerlang menewaskan Iga Swiatek untuk menginspirasi pasukan Amerika Syarikat (AS) kelmarin, sebelum Taylor Fritz memastikan gelaran Piala United dengan kemenangan ke atas Hubert Hurkacz dari Poland di Sydney.
Gauff memulakan aksi dengan kemenangan bergaya 6-4, 6-4 ke atas Swiatek dalam tempoh 1 jam 51 minit, memberi amaran awal menjelang Terbuka Australia.
Taylor Fritz, dengan servis kuatnya, kemudian bertarung sengit sebelum mengatasi Hurkacz 6-4, 5-7, 7-6 (7/4), mencetuskan sorakan besar ketika pasukan AS meraikan kejayaan mereka. Ini merupakan gelaran kedua mereka dalam tiga tahun, selepas menjuarai edisi sulung pada 2023.
Bagi Poland, ia adalah kekecewaan sekali lagi apabila gagal di peringkat akhir, selepas tewas kepada Jerman 12 bulan lalu.
Gauff membuka langkah dengan kemenangan kedua berturut-turut ke atas Swiatek selepas menewaskan bekas pemain nombor satu dunia itu di WTA Finals di Riyadh dalam perjalanannya untuk meraih gelaran.
Gauff telah memenangi kesemua enam perlawanan perseorangan dan bergu sebelum ini sepanjang minggu ini, dan meneruskan rentak kemenangannya apabila Swiatek melakukan kesalahan dua kali di titik mata perlawanan pada kedudukan 4-5, 30-40 dalam set kedua.
“Saya rasa saya mempunyai keyakinan bahawa saya adalah salah seorang pemain terbaik di dunia dan apabila saya bermain tenis dengan baik, sukar untuk saya dikalahkan,” kata Gauff, yang juga dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan. – AFP