ISTANBUL, 10 APRIL – Delegasi AS dan Rusia bertemu di Istanbul hari ini, bagi membincangkan usaha memulihkan operasi kedutaan masing-masing, yang telah mengurangkan jumlah kakitangan secara drastik susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Perbincangan ini, merupakan siri kedua, diadakan selepas Presiden Donald Trump menghubungi Rusia pada awal penggal keduanya dan menawarkan hubungan yang lebih baik, sekiranya konflik di Ukraine dapat dikurangkan.
Seorang wartawan AFP turut melaporkan delegasi Rusia dan AS tiba di bangunan konsulat Rusia di Istanbul.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce berkata, kedua-dua pihak akan “berusaha untuk mencapai kemajuan dalam menstabilkan operasi misi dua hala kami.”
“Tiada isu politik atau keselamatan dalam agenda, dan Ukraine sememangnya tidak termasuk dalam agenda,” katanya lagi.
Perbincangan dijangka berlangsung selama beberapa jam, menurut agensi berita Rusia.
Duta Rusia ke AS, Alexander Darchiev berkata, rundingan akan menumpukan kepada “menghapuskan legasi toksik pentadbiran AS sebelum ini yang mengenakan sekatan ketat terhadap aktiviti misi diplomatik Rusia.”
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menyebabkan hubungan Moscow-Washington berada pada tahap paling buruk sejak era Perang Dingin.
Sejak Trump kembali ke Rumah Putih, pegawai dari kedua-dua negara telah mengadakan pelbagai rundingan, termasuk mengenai gencatan senjata di Ukraine, pemulihan hubungan ekonomi dan isu teknikal seperti yang dibincangkan hari ini.
Kedua-dua negara telah mengendalikan kedutaan masing-masing dengan kakitangan minimum sejak beberapa tahun lalu berikutan tindakan saling mengusir diplomat. – AFP
