Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS sahkan kes pertama jangkitan parasit makan daging

    ISTANBUL, 27 OGOS – Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS), Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kes pertama jangkitan parasit pemakan daging pada manusia di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    New World Screwworm (NWS), sejenis lalat parasit akan menggali masuk ke dalam tisu perumah hidup menggunakan cangkuk mulutnya yang tajam, menyebabkan kerosakan teruk yang boleh membawa maut.

    Seorang jurucakap HHS memberitahu ABC News pada Isnin bahawa pesakit itu telah melawat El Salvador baru-baru ini sambil menegaskan bahawa risiko kepada orang ramai di AS adalah sangat rendah, manakala Amerika Tengah dan Mexico terus berdepan wabak parasit itu pada haiwan ternakan mereka.

    Jabatan Pertanian AS memaklumkan cacing skru tidak ditemukan pada haiwan di AS, dan menyatakan bahawa ia sebahagian besarnya telah dihapuskan beberapa dekad lalu dengan melepaskan lalat jantan yang dimandulkan untuk menghapuskan populasinya.

    “Namun dengan penularannya di negara-negara berdekatan, lalat NWS bukan sahaja menjadi ancaman kepada komuniti penternak kita, tetapi ia juga mengancam bekalan makanan dan keselamatan negara,” kata agensi itu.

    Agensi itu menggariskan langkah-langkah baharu untuk menyekat kemasukannya, termasuk menubuhkan pusat pembiakan lalat mandul di negeri Texas, menempatkan unit peronda berkuda untuk memantau pergerakan hidupan liar, dan menggunakan anjing pengesan untuk memeriksa barangan import di pintu masuk negara.

    Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, individu yang melawat kawasan wabak, bersentuhan dengan ternakan, tidur di luar rumah dan mempunyai luka terbuka berdepan risiko lebih tinggi untuk dijangkiti cacing skru. – Bernama/Anadolu

    Seekor lalat NWS dewasa. Gambar fail – AP
    Seekor larva NWS. – Gambar fail AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda