WASHINGTON, 11 NOV – Amerika Syarikat (AS) menyalurkan lebih AS$12 juta bantuan kecemasan kepada Haiti dan Jamaica yang terjejas akibat Taufan Melissa, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik kenyataan Jabatan Negara AS kelmarin.
“Kami menyalurkan hampir AS$12.6 juta bantuan kecemasan tambahan kepada Jamaica dan Haiti sebagai sebahagian daripada sokongan berterusan AS di rantau ini selepas Taufan Melissa,” menurut kenyataan itu.
Bantuan bernilai AS$10 juta kepada Jamaica disalurkan untuk membantu kerja pembersihan runtuhan, memulihkan akses ke kawasan terpencil serta menyediakan tempat perlindungan, penjagaan kesihatan kecemasan, perlindungan kanak-kanak, bekalan air bersih, sanitasi, kebersihan dan bantuan makanan.
Di Haiti, bantuan tambahan berjumlah AS$2.5 juta pula akan menyokong usaha menyelamat dan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas.
“Jumlah keseluruhan bantuan kecemasan dan sokongan lapangan yang telah disalurkan AS di seluruh rantau setakat ini mencecah hampir AS$37 juta, termasuk lebih AS$22 juta kepada Jamaica, AS$11 juta kepada Haiti, AS$3 juta kepada Cuba dan AS$500,000 kepada Bahamas,” menurut Jabatan Negara AS.
Pada akhir Oktober lalu, Taufan Melissa melanda Jamaica dan menyebabkan banjir besar dan kerosakan terhadap infrastruktur.
Ia kemudiannya melanda Cuba, Republik Dominican, Haiti serta beberapa negara kepulauan kecil di rantau Caribbean, meninggalkan jejak kemusnahan di sepanjang laluannya. – Bernama/Sputnik/Ria Novosti

