Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS sekat import garam laut dari ladang Korea Selatan

    SEOUL, 7 APRIL – Amerika Syarikat (AS)bertindak menyekat import produk garam laut dari sebuah ladang garam utama di Korea Selatan atas dakwaan penggunaan buruh paksa, menjadikannya rakan dagang pertama yang mengambil tindakan tegas terhadap isu yang berlarutan sejak sekian lama di ladang garam di pulau-pulau terpencil di barat daya negara itu.

    Perintah penahanan pelepasan telah dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS terhadap ladang Taepyung, yang terletak di daerah pulau Sinan, wilayah utama pengeluaran garam laut Korea Selatan.

    Di bawah arahan tersebut, semua pegawai kastam di pintu masuk AS diarahkan menyekat produk garam laut yang diperoleh dari ladang tersebut kerana wujud bukti kukuh menggunakan buruh paksa.

    Ladang garam Taepyung merupakan pengeluar terbesar di Korea Selatan, yang menghasilkan sekitar 16,000 tan garam setahun, bersamaan kira-kira enam peratus daripada jumlah pengeluaran negara. Ia juga merupakan pembekal utama kepada syarikat pemprosesan makanan Korea.

    Menurut laporan, ladang itu yang beroperasi di Pulau Jeungdo, sering disewakan kepada penyewa ladang dan telah beberapa kali dituduh menggunakan buruh paksa, termasuk pada tahun 2014 dan 2021.

    Kementerian Luar Korea Selatan dalam kenyataan kepada Associated Press hari ini menyatakan bahawa pelbagai agensi berkaitan termasuk Kementerian Lautan dan Perikanan telah mengambil tindakan sejak 2021 untuk membaiki amalan buruh di ladang itu. Kerajaan turut menegaskan bahawa tiada garam yang dihasilkan kini melibatkan buruh paksa.

    Kementerian itu berkata ia merancang untuk ‘melibatkan diri secara aktif’ dengan pihak AS untuk membincangkan perkara itu.

    Sementara pihak Kementerian Perikanan pula memaklumkan bahawa pihaknya akan menyemak langkah sewajarnya bagi mendapatkan pengecualian semula perintah sekatan oleh pihak AS. – AP

    Gambar fail bertarikh 19 Februari 2014 menunjukkan seorang pemilik ladang garam berjalan di sekitar ladang garamnya di Pulau Sinui, Korea Selatan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda