WASHINGTON, 12 OKT – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth mengumumkan Jumaat lalu Qatar akan dibenarkan membina kemudahan tentera udara di Pangkalan Udara Mountain Home di Idaho yang akan menempatkan pesawat pejuang dan juruterbang F-15.
Pengumuman itu dibuat sejurus selepas Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang berjanji untuk mempertahankan negara Arab Teluk itu daripada serangan, susulan serangan udara Israel yang menyasarkan pemimpin Hamas di ibu negara Qatar, Doha.
“Kami sedang menandatangani surat penerimaan untuk membina kemudahan Tentera Udara Emiri Qatar di Pangkalan Udara Mountain Home di Idaho,” kata Hegseth di Pentagon, dengan Menteri Pertahanan, Qatar Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al-Thani di sisinya.
“Lokasi itu akan menjadi hos bagi kontinjen F-15 Qatar dan juruterbang untuk meningkatkan latihan gabungan kami serta meningkatkan operasi dan serangan,” katanya.
Pangkalan Idaho kini juga menjadi hos bagi skuadron pesawat pejuang dari Singapura, menurut laman webnya.
Hegseth juga berterima kasih kepada Qatar kerana peranan pentingnya sebagai orang tengah dalam rundingan yang membawa kepada gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas, serta bantuannya dalam memastikan pembebasan seorang warga AS dari Afghanistan.
Menteri Qatar memuji perkongsian yang teguh, berkekalan dan hubungan pertahanan yang mendalam dikongsi oleh kedua-dua negara.
Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar ialah kemudahan ketenteraan terbesar Washington di Timur Tengah. – AFP


