Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS sokong ‘langkah ketara’ negara Palestin – Blinken

    RAMALLAH, PALESTIN, 10 JAN – Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken memberitahu presiden Palestin, Mahmud Abbas hari ini bahawa Washington menyokong ‘langkah ketara’ ke arah penciptaan negara Palestin.

    Blinken mengulangi pendirian lama Washington bahawa negara Palestin mesti berdiri bersama Israel, ‘dengan kedua-duanya hidup dalam keamanan dan keselamatan’, jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata dalam satu kenyataan.

    Penciptaan negara Palestin telah dijangkakan berikutan Perjanjian Oslo pada 1990an tetapi perbincangan telah terhenti selama bertahun-tahun.

    Kerajaan Israel tidak menunjukkan minat untuk menghidupkan semula rundingan dan kepimpinan Palestin kekal berpecah antara Pihak Berkuasa Palestin, yang diketuai oleh Abbas, dan Hamas, yang memerintah Gaza.

    Abbas menyifatkan Semenanjung Gaza sebagai ‘sebahagian daripada negara Palestin’, menurut agensi berita rasmi Palestin (WAFA).

    “Mustahil untuk menerima atau mempertimbangkan rancangan pihak berkuasa pendudukan bagi memisahkannya, atau membuang mana-mana bahagiannya,” kata pemimpin Palestin itu kepada Blinken.

    Perbincangan telah dijalankan selama berminggu-minggu mengenai tadbir urus Gaza selepas perang, walaupun Israel telah memberikan amaran bahawa pertempuran mungkin akan berterusan selama berbulan-bulan.

    Presiden Palestin itu juga membangkitkan ‘usaha yang dibuat untuk menghentikan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat’, lapor WAFA. – AFP

    Blinken bertemu dengan Abbas, semasa lawatannya selama seminggu bertujuan meredakan ketegangan di seluruh Timur Tengah, di Muqata’a, di Ramallah kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda