WASHINGTON, 28 APRIL – Pihak berkuasa Amerika Syarikat kelmarin berkata, mereka telah menahan lebih 100 pendatang haram tanpa dokumen dalam satu serbuan di sebuah kelab malam di Colorado, sebagai sebahagian daripada tindakan keras imigresen Presiden Donald Trump.
Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) berkata mereka “menahan lebih 100 pendatang haram di sebuah kelab malam bawah tanah yang sering dikunjungi pengganas Tda dan MS-13,” menurut Peguam Negara Pam Bondi di platform X.
Trump telah mengisytiharkan kumpulan Tren de Aragua dan MS-13 dari Amerika Selatan sebagai kumpulan pengganas, menghantar tentera ke sempadan Mexico dan menyeru pengusiran besar-besaran pendatang tanpa dokumen dalam pendekatan keras terhadap imigresen.
Namun begitu, langkah ini mencetuskan pertikaian dengan hakim persekutuan, kumpulan hak asasi dan Demokrat yang menuduh beliau melanggar hak perlembagaan dengan mempercepatkan pengusiran migran, kadang kala tanpa memberi mereka peluang untuk didengar di mahkamah.
Rakaman video yang dimuat naik DEA menunjukkan pegawai bersenjata memecahkan tingkap dan menjerit kepada pengunjung kelab supaya mengangkat tangan ketika mereka melarikan diri ke tempat letak kereta pusat membeli-belah.

DEA berkata “lebih 100 pendatang haram” ditahan di kelab malam bawah tanah di Colorado Springs itu.
“Pelbagai jenis dadah dan senjata turut dirampas,” kata agensi itu di X.
Ejen Khas DEA, Jonathan Pullen, memberitahu stesen TV tempatan serbuan itu turut menemui beberapa anggota tentera AS di kelab tersebut, sama ada sebagai pelanggan atau bertugas sebagai pengawal keselamatan bersenjata.
Trump memuji operasi itu di platform Truth Social miliknya, menyasarkan “beberapa individu paling berbahaya yang berada secara haram di negara kita pengedar dadah, pembunuh dan penjenayah ganas lain, dari pelbagai latar belakang.”
Beliau turut mengkritik hakim yang menyekat pengusiran migran, mengatakan mereka akan menjadikan Amerika Syarikat sebuah “kekacauan dipenuhi jenayah.” – AFP