KABUL, 27 MAC – Amerika Syarikat telah menarik balik ganjaran bernilai berjuta-juta dolar ke atas pemimpin rangkaian pemberontak Haqqani di Afghanistan, termasuk Menteri Dalam Negeri Taliban sekarang, kata Jabatan Negara dan kerajaan Taliban.
Rangkaian Haqqani bertanggungjawab terhadap beberapa serangan paling teruk semasa perang berdekad-dekad di Afghanistan.
Anggota berkenaan masih kekal dalam senarai ‘pengganas global’ oleh Washington tetapi jumlah ganjaran telah dibatalkan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Taliban, Abdul Mateen Qani memberitahu AFP Washington telah ‘membatalkan ganjaran’ yang ditawarkan atas penangkapan Sirajuddin Haqqani, yang juga mengetuai rangkaian Haqqani serta pemimpin utama lain, Abdul Aziz Haqqani dan Yahya Haqqani.
Sirajuddin Haqqani telah lama menjadi salah satu sasaran utama Washington, dengan ganjaran sebanyak AS$10 juta ditawarkan untuk menangkapnya.

Jabatan Negara AS berkata ‘tiga orang individu yang dinamakan masih diiktiraf sebagai Pengganas Global yang Ditetapkan Secara Khas (SDGTs), dan Rangkaian Haqqani kekal diiktiraf sebagai Organisasi Pengganas Asing dan SDGT.’
Meskipun halaman individu yang dikehendaki masih aktif, hadiah wang di laman web Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah diturunkan.
“Amerika Syarikat mempunyai dasar untuk smengkaji secara konsisten dan menyempurnakan mengemas kini tawaran hadiah bagi Keadilan,” kata jurucakap Jabatan Negara kepada AFP kelmarin.
Pembatalan ganjaran itu dibuat beberapa hari selepas lawatan pertama pegawai AS ke Afghanistan sejak Presiden Donald Trump kembali menerajui tampuk pentadbiran dan pengumuman susulan itu mengenai pembebasan seorang warga AS oleh pihak berkuasa Taliban.
Penganalisis politik Afghanistan yang berpangkalan di AS, Abdul Wahed Faqiri memberitahu AFP bahawa pembatalan ganjaran itu mungkin ‘lebih bersifat simbolik’ tetapi sebagai cara Amerika Syarikat ‘memberikan pujian kepada Sirajuddin Haqqani’, yang dilihat sebagai ‘alternatif’ yang lebih sederhana. – AFP