Wednesday, March 26, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS tarik balik status sah 500,000 pendatang asing

    WASHINGTON, 23 MAC – Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan penamatan status sah ratusan ribu pendatang, dengan memberikan mereka tempoh beberapa minggu untuk meninggalkan negara itu.

    Presiden Donald Trump berjanji melaksanakan kempen pengusiran terbesar dalam sejarah AS serta mengurangkan kadar imigrasi, khususnya dari negara-negara Amerika Latin.

    Perintah itu menjejaskan kira-kira 532,000 warga Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela yang memasuki AS di bawah skim yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Joe Biden pada Oktober 2022 dan diperluas pada Januari 2023. Mereka akan kehilangan perlindungan sah 30 hari selepas arahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS diterbitkan dalam Daftar Persekutuan yang dijadualkan pada Selasa ini.

    Ia bermakna pendatang di bawah program itu ‘mesti meninggalkan AS’ selewat-lewatnya 24 April kecuali mereka memperoleh status imigresen lain yang membolehkan mereka terus menetap di negara itu, menurut arahan berkenaan. Welcome.US, pertubuhan yang membantu individu mencari perlindungan di AS, menggesa mereka yang terjejas segera mendapatkan nasihat peguam imigresen. Program Proses untuk warga Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela (CHNV) yang diumumkan pada Januari 2023, membenarkan kemasukan ke AS selama dua tahun untuk sehingga 30,000 pendatang sebulan dari keempat-empat negara itu, yang mencatatkan rekod hak asasi manusia yang buruk.

    Biden mempromosikan pelan itu sebagai cara ‘selamat dan berperikemanusiaan’ untuk mengurangkan tekanan di sempadan AS-Mexico yang sesak. Bagaimanapun, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS menegaskan semalam bahawa skim berkenaan adalah bersifat ‘sementara’. – AFP

    Pendatang asing dari Tapachula, negeri Chiapas, Mexico, berjalan menuju ke sempadan AS pada 20 Januari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda