HOUSTON, 7 MEI – Pentadbiran Trump semalam mengumumkan tawaran sebanyak AS$1,000 kepada mana-mana pendatang asing tanpa izin yang bersetuju untuk pulang ke negara asal secara sukarela, dengan alasan kaedah itu lebih murah, selamat dan berkesan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), pendatang yang memilih untuk pulang menggunakan aplikasi Customs and Border Protection (CBP) Home App akan menerima wang tunai serta bantuan perjalanan.
Pembayaran hanya akan dibuat selepas kepulangan mereka disahkan menerusi aplikasi itu.
“Jika awda berada di sini secara haram, pemulangan sukarela adalah cara terbaik, paling selamat dan paling menjimatkan untuk meninggalkan Amerika Syarikat (AS) serta mengelakkan daripada ditahan,” kata Setiausaha DHS, Kristi Noem.
Menurut DHS, kaedah pemulangan sukarela bukan sahaja lebih bermaruah, malah membolehkan warga asing tanpa izin mengelak daripada dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE).
Dengan jutaan pendatang tanpa izin dianggarkan menetap di AS, DHS menjelaskan bahawa inisiatif itu dapat mengurangkan kos pengusiran secara ketara – lebih dua pertiga daripada kos biasa.
Pada masa ini, purata kos bagi menahan, memproses dan menghantar pulang seorang migran mencecah AS$17,121.
DHS turut memaklumkan bahawa inisiatif itu sudah digunakan oleh seorang migran yang kembali ke Honduras menaiki penerbangan dari Chicago, manakala beberapa lagi sudah menempah tiket untuk pulang minggu ini dan minggu hadapan. – AFP
