Saturday, September 14, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS tawar ganjaran AS$2.5 juta untuk penggodam dari Belarus

    WASHINGTON, 27 OGOS – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sehingga AS$2.5 juta untuk maklumat yang membawa kepada penahanan dan sabitan Volodymyr Kadariya, seorang warga Belarus yang dikehendaki di negara itu.

    Ganjaran itu ditawarkan kelmarin secara bersama oleh Jabatan Negara dan Perkhidmatan Rahsia AS ke atas Kadariya, 38, kerana didakwa terlibat dalam organisasi perisian hasad yang penting, lapor United Press International (UPI).

    Kadariya yang juga dikenali sebagai Volodymyr Kadaria atau Vladimir Kadaria, didakwa atas kesalahan jenayah siber berkaitan dengan skim yang disyaki menghantar Angler Exploit Kit (AEK) bersama perisian hasad dan penipuan dalam talian lain kepada komputer jutaan pengguna Internet yang tidak menyedari melalui iklan dalam talian yang dikenali sebagai malvertising.

    Insiden itu berlaku dari Oktober 2013 hingga Mac 2022. Dia didakwa pada 14 Jun 2023 di New Jersey.

    Kadariya didakwa bersama Maksim Silnikau, 38, yang memiliki kewarganegaraan Belarus dan Ukraine serta Andrei Tarasov, seorang warga Rusia berusia 33 tahun, atas tuduhan jenayah siber.

    Menurut Perkhidmatan Rahsia, AEK adalah alat utama yang digunakan oleh penjenayah siber untuk menghantar perisian hasad ke dalam peranti elektronik yang terjejas semasa skim itu.

    “Kempen malvertising direka untuk kelihatan sah, tetapi sering mengarahkan semula pengguna Internet yang melihat atau mengakses iklan itu ke laman sesawang dan pelayan berbahaya yang bertujuan untuk menipu pengguna atau menghantar perisian hasad ke peranti pengguna,” kata pegawai Perkhidmatan Rahsia.

    Kadariya dan rakan subahatnya juga didakwa menghantar iklan scareware yang memaparkan mesej palsu yang mendakwa telah mengenal pasti virus atau masalah lain pada peranti Internet mangsa. 

    Mangsa diperdaya untuk membeli atau memuat turun perisian berbahaya, memberikan akses jauh kepada peranti itu atau mendedahkan maklumat pengenalan peribadi atau kewangan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda