Saturday, February 8, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS tentang resolusi PBB

    WASHINGTON, 2 Nov – Amerika Syarikat semalam mengundi membantah resolusi PBB yang mengecam sekatan perdagangan Amerika Syarikat ke atas Cuba, tindakan terbaru yang menekankan dasar baru Cuba yang dilancarkan oleh pentadbiran Trump untuk melencong dari dasar yang diwariskan oleh Obama.

    Resolusi sebulat suara diluluskan dalam Perhimpunan Agung PBB oleh undi 191-2, dengan hanya Amerika Syarikat dan Israel menyuarakan bantahan. Keputusan undi adalah sama dengan pada tahun 2015 walaupun berbeza daripada tindakan tidak mengundi oleh pentadbiran Obama, yang menekankan pemulihan dalam hubungan dua hala di antara kedua-dua bekas musuh Perang Dingin.

    Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Nikki Haley menyalahkan Havana atas sekatan tersebut, berkata sebelum pengundian bahawa Amerika Syarikat akan terus menentang resolusi “selagi rakyat Cuba tidak diberikan hak asasi manusia dan kebebasan asas mereka.”

    Menteri Luar Cuba Bruno Rodriguez Parrilla melawan, berkata sekatan AS merupakan pencabulan terang-terangan, teruk dan sistematik ke atas hak asasi semua rakyat Cuba” dan layak digelar “satu perbuatan pembunuhan.”

    Duta AS ke PBB Nikki Haley semasa berucap untuk membantah resolusi PBB yang mengecam sekatan perdagangan Amerika Syarikat ke atas Cuba. – AFP

    Menuduh Cuba terbabit dalam penyalahgunaan hak asasi manusia, Jurucakap Jabatan Negara AS Heather Nauert memberitahu satu taklimat media bahawa tentangan AS menekankan dasar baru Cuba yang dilancarkan oleh pentadbiran Trump untuk memberikan tumpuan yang lebih dalam memajukan hak asasi manusia dan demokrasi di Cuba.

    Pendekatan baru yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada pertengahan Jun mengenakan sekatan ke atas perjalanan warga Amerika ke Cuba dan perniagaan AS dengan tentera Cuba.

    Sementara itu, ia tidak menjejas pemulihan hubungan diplomatik AS-Cuba dan mengekal kedutaan AS di Cuba. Pakar melihat arahan baru Trump sebagai membuat perubahan “sederhana” kepada dasar pemimpin sebelumnya, mengeluarkan sebahagian isi kandungan Obama sementara mengekal kebanyakannya tanpa perubahan. Dengan itu, kesan peraturan baru Trump ke atas hubungan AS-Cuba dipercayai adalah terhad. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda