WASHINGTON, 22 MEI – Amerika Syarikat (AS) telah menerima sebuah jet mewah Boeing 747 sebagai hadiah daripada Qatar, menurut Pentagon kelmarin, lapor Xinhua.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menerima pesawat bernilai AS$400 juta itu untuk digunakan sebagai pesawat rasmi Presiden AS, Donald Trump, menurut Pentagon.
Penerimaan pesawat itu telah menimbulkan kebimbangan keselamatan dan etika daripada kedua-dua parti politik utama AS manakala pakar turut membangkitkan isu perundangan mengenai hadiah daripada kerajaan asing.
“Hari ini mencatatkan detik hitam dalam sejarah: Presiden AS secara rasmi menerima sogokan terbesar daripada sebuah kerajaan asing dalam sejarah negara ini,” kata Ketua Demokrat Senat, Chuck Schumer dalam satu kenyataan.
“Tindakan yang tidak pernah berlaku ini mencemarkan institusi Presiden dan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan,” tambahnya.
Trump memperkecilkan isu etika berkaitan penerimaan itu dan menyatakan bahawa adalah ‘tidak masuk akal’ untuk menolak pesawat itu manakala Qatar pula menolak kebimbangan terhadap perjanjian berkenaan.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell berkata Jabatan Pertahanan ‘akan memastikan langkah keselamatan yang sewajarnya serta keperluan fungsi misi dipertimbangkan.’
Menurut pakar, pengubahsuaian pesawat mewah itu akan memerlukan penambahbaikan keselamatan secara menyeluruh, yang boleh menelan belanja ratusan juta dolar. – Bernama
