Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS terus beri amaran kepada Turki

    WASHINGTON, 30 Mei – Turki akan berdepan sekatan Amerika Syarikat (AS) andai negara itu meneruskan hasratnya mendapatkan sistem peluru berpandu buatan Rusia S-400, lapor agensi berita Xinhua, memetik kenyataan Jabatan Negara AS hari ini.

    “Kami bersedia bekerjasama dengan Turki, tetapi negara ini tetap akan menanggung akibat jika  penghantaran S-400 itu diteruskan,” kata jurucakap Jabatan Negara, Morgan Ortagus.

    “Perkara ini sangat serius dan pendirian kita tetap konsisten,” katanya. Presiden Donald Trump pada hari sama turut berbincang menerusi telefon dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berhubung isu terbabit, menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.

    Pengarah Komunikasi Turki, Fahrettin Altun menulis di Twitternya, dalam perbincangan itu Erdogan mengulangi tawaran Turki untuk menubuhkan kumpulan kerja bersama bagi menangani kebimbangan AS mengenai pembelian itu.

    Bagaimanapun, kenyataan Rumah Putih tidak menyebut mengenai cadangan terbabit.

    Sejak beberapa bulan lalu Washington dan Ankara saling berbalah mengenai isu pembelian S-400.

    Turki tidak berganjak dengan keputusannya dan tetap meneruskan kontrak perjanjian dengan Rusia bernilai AS$ 2.5 bilion.

    Laporan CNBC minggu lepas mengatakan Washington memberikan Ankara tempoh dua minggu untuk membatalkan perjanjian itu atau akan berdepan sekatan dan larangan membeli jet pejuang AS F-35.

    Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar pada Isnin menolak laporan kononnya AS telah memberikan amaran terakhir, sambil menambah S-400 dijadualkan tiba di Ankara pada bulan berikutnya.  – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda