Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS tidak akan benarkan Venezuela tumbang – Pence

    MIAMI, 24 Ogos – Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence pada Rabu bersumpah bahawa AS tidak akan membenarkan ‘Venezuela tumbang’ sambil mengatakan perkara sedemikian akan ‘membahayakan’ negara-negara lain di rantau yang lebih luas.

    “Kejatuhan Venezuela akan membahayakan semua orang yang menganggap Hemisfera Barat sebagai tempat tinggal,” kata Pence dalam ucapannya di depan 600 orang di sebuah gereja Katolik di Doral, pusat masyarakat Venezuela di Miami.

    “Kita tidak boleh dan tidak akan membiarkannya berlaku,” katanya sambil menambah bahawa ‘bekerja dengan sekutu di rantau Amerika Latin bermakna AS akan menghadapi dan mengatasi semua anasir yang berani mengancam kesejahteraan kita.”

    Beliau menekankan bahawa ‘kejatuhan’ ??Venezuela akan ‘memacu lebih banyak pengedaran dadah haram dengan akibat pembunuhan’ dalam satu tanggapan yang telah diutarakan Presiden Donald Trump sebelum ini.

    Naib presiden AS itu menyampaikan ucapan selepas lawatannya ke Colombia, Argentina, Chile dan Panama minggu lepas dengan Venezuela adalah antara isu utama yang dibincangkan.

    Mike Pence ketika dirakam semasa memberi ucapan kepada pelarian Venezuela di Doral, Florida, kelmarin. – AFP

    Venezuel telah terjerumus ke dalam kekacauan politik dan ekonomi sehingga mengancam kestabilan serantau. Pertengkaran antara penunjuk perasaan dan polis tahun ini telah menyebabkan 125 orang terbunuh, menurut pendakwa raya.

    Di Miami, Pence tidak menimbulkan spekulasi tindakan ketenteraan seperti yang Trump bangkitkan. Beliau menegaskan AS tidak akan membuat keputusan sehala: “Amerika didahulukan tidak bermaksud Amerika sahaja.”

    Senator AS Marco Rubio dan Gabenor Florida Rick Scott dalam ucapan mereka, juga mengulangi ikrar untuk mengharamkan syarikat-syarikat di tenggara AS daripada melakukan perniagaan dengan firma Venezuela.

    Menurut data banci 2015, kira-kira 273,000 warga Venezuela tinggal di AS dan hampir separuh daripadanya di Florida, kebanyakannya di daerah Miami-Dade dan Broward. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda