AS tidak melanjutkan tarikh akhir jual TikTok

WASHINGTON, 11 SEPT – Presiden Donald Tump tidak akan melanjutkan tarikh akhir iaitu 15 September, kepada syarikat China, ByteDance untuk menjual aplikasi perkongsian video TikTok atau ia akan ditutup di Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Sputnik.

“Tiada lanjutan untuk tarikh akhir TikTok,” kata Trump kelmarin ketika ditemui pemberita sebelum berlepas dari pangkalan udara Joint Base Andrews di Maryland, untuk menghadiri kempen pilihan raya di Michigan.

“Sama ada kita akan tutup TikTok di negara ini atas alasan keselamatan atau akan dijual. Kita lihat nanti apa yang berlaku,” kata Trump.

Pada Ogos, Trump mengarahkan ByteDance yang berpangkalan di Beijing menjual perniagaannya di AS atau aplikasi video popular itu akan dilarang beroperasi.

Setiausaha Negara Mike Pompeo mendakwa TikTok dan aplikasi lain seperti WeChat menyalurkan data kepada sistem keselamatan China. – Bernama