AS tuduh Rusia uji senjata antisatelit

WASHINGTON, 24 JULAI – Amerika Syarikat (AS) semalam menuduh Rusia menguji senjata antisatelit di angkasa, sekali gus memberi amaran bahawa ancaman terhadap sistem Washington adalah ‘nyata, serius serta meningkat’.

Pihak berkuasa angkasa AS dalam satu kenyataan mendakwa bahawa mereka ‘ada bukti’ menunjukkan Moscow menjalankan ujian itu pada 15 Julai lalu.

“Ujian pada minggu lalu adalah satu lagi contoh bahawa ancaman terhadap sistem angkasa AS dan sekutu adalah nyata, serius dan meningkat,” menurut kenyataan itu.

Perunding pelucutan senjata nuklear AS, Marshall Billingslea, pula berkata di Twitter bahawa tindakan itu jelas tidak boleh diterima dan akan menjadi ‘isu utama’ dibincangkan di Vienna pada minggu depan.

Semalam, Presiden Donald Trump memberitahu rakan sejawatnya di Rusia, Vladimir Putin, bahawa beliau berharap dapat mengelakkan perlumbaan senjata ‘mahal’ dengan Rusia dan China. – AFP