WASHINGTON, 14 FEB – Pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan Rusia akan mengadakan pertemuan minggu depan di Arab Saudi bagi membincangkan usaha menamatkan perang Kremlin ke atas jirannya di Eropah timur, kata Presiden AS Donald Trump kelmarin.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa Trump berkata para pemimpin negara terbabit tidak akan menghadiri rundingan itu, sebaliknya menghantar wakil kanan untuk menjalankan rundingan.
Beliau berkata perbualan telefon ‘sangat baik’ dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, Rabu lalu ‘memberikan kemajuan besar ke arah penyelesaian perang yang dahsyat ini, yang mengorbankan begitu ramai nyawa, terutamanya anggota tentera di medan perang.’
“Kita akan melihat sama ada kita boleh menamatkan perang itu. Perang ini sangat dahsyat. Ia perang yang ganas dan berdarah. Kita mahu menamatkannya,” kata Trump ketika menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Beberapa jam sebelum itu, Trump menyatakan bahawa beliau mempercayai Putin dan percaya pemimpin Rusia itu mahukan keamanan dengan Ukraine.
“Saya percaya Presiden Putin. Ketika saya bercakap dengannya semalam, saya sangat mengenalinya. Ya, saya fikir dia mahukan keamanan. Saya fikir dia akan berterus terang dengan saya jika sebaliknya,” katanya.
Kenyataannya dibuat sehari selepas beliau mengadakan perbualan telefon berasingan dengan Putin dan rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, bagi membincangkan usaha menamatkan perang Rusia-Ukraine. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P20-3C-Envato_15022025.jpg)