Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS umum bantuan AS$1 bilion kepada negara Afrika

    LUANDA, 4 DIS – Amerika Syarikat (AS) akan menyediakan lebih daripada AS$1 bilion bagi bantuan kemanusiaan untuk orang yang kehilangan tempat tinggal akibat kemarau atau konflik di 31 negara Afrika, kata Presiden AS, Joe Biden di Angola, kelmarin.

    Bantuan itu akan menangani masalah kekurangan makanan dan keperluan mendesak lain bagi pelarian, orang yang dipindahkan secara dalaman dan masyarakat yang terjejas di 31 negara Afrika, menurut kenyataan daripada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).

    “Hari ini, saya mengumumkan bantuan kemanusiaan baharu bernilai lebih AS$1 bilion untuk warga Afrika yang berpindah akibat kemarau berpanjangan,” kata Biden dalam ucapan di ibu kota Angola, Luanda, di mana dia tiba Isnin lalu untuk lawatan pertamanya ke sub-Sahara Afrika sebagai presiden.

    Beberapa buah negara di selatan Afrika sedang mengalami kemarau yang terburuk di rantau itu dalam tempoh 100 tahun, mengakibatkan kerugian besar tanaman dan ternakan. “Konflik bersenjata, cuaca ekstrem, bencana alam dan kecemasan lain mendorong keperluan kemanusiaan di seluruh benua dan memerlukan bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa serta mengurangkan penderitaan dalam kalangan mereka yang paling terjejas,” kata kenyataan USAID.

    “Pengumuman hari ini, sekali lagi, menunjukkan komitmen teguh kami untuk berdiri bersama rakan kongsi dan rakyat Afrika kami di seluruh benua dalam menangani cabaran kekurangan makanan,” katanya.

    Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, satu daripada lima rakyat Afrika – hampir 300 juta orang – menghadapi kebuluran pada 2023, dan bilangan orang yang menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk dan kekurangan zat makanan terus meningkat, katanya.

    AS pada tahun fiskal 2024 menyediakan hampir AS$6.6 bilion bantuan kemanusiaan di seluruh sub-Sahara Afrika, menurut USAID. – AFP

    Joe Biden (kiri) berjalan di podium untuk menyampaikan ucapan semasa lawatannya ke Muzium Perhambaan Negara di Morro da Cruz, Luanda, pada 3 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda