Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS umum tarik diri dari UNESCO

    WASHINGTON, 23 JULAI – Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan negara itu secara rasmi menarik diri daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), dengan mendakwa agensi tersebut bersikap berat sebelah terhadap Israel dan mempromosikan agenda yang ‘memecahbelahkan’.

    Presiden Donald Trump sebelum ini turut mengarahkan penarikan keluar AS daripada UNESCO pada 2017 ketika penggal pertama pemerintahannya. Presiden Joe Biden bagaimanapun telah mengembalikan keahlian AS semasa pentadbirannya yang lalu.

    “Penglibatan berterusan dalam UNESCO tidak lagi selari dengan kepentingan AS,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce, dalam kenyataan rasmi.

    UNESCO menyifatkan keputusan AS yang akan berkuat kuasa pada Disember 2026 sebagai sesuatu yang dijangka tetapi tetap dikesali dan menambah bahawa kesannya terhadap kewangan organisasi itu adalah terhad.

    Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay berkata, “Saya amat kesal atas keputusan Presiden Donald Trump untuk sekali lagi mengeluarkan AS daripada UNESCO. Keputusan ini bertentangan dengan prinsip-prinsip asas multilateralisme.”

    Namun katanya, UNESCO telah menjalankan pembaharuan struktur utama dan mempelbagaikan sumber pembiayaan, termasuk daripada sektor swasta dan sumbangan sukarela kerajaan. Kini, sumbangan AS hanya merangkumi lapan peratus bajet keseluruhan UNESCO jauh lebih rendah berbanding anggaran hampir 20 peratus satu dekad lalu.

    Tambah Azoulay, tiada pengurangan kakitangan dirancang susulan keputusan itu.

    Sementara itu, Bruce mengkritik UNESCO kerana menurutnya terlalu fokus kepada matlamat pembangunan lestari PBB, yang beliau dakwa sebagai agenda ideologi bersifat globalis. – AFP

    Bendera AS dan negara lain berkibar di ibu pejabat UNESCO pada 22 Julai di Paris. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda