AS: vaksinasi bermula disember

WASHINGTON, 23 NOV – Amerika Syarikat (AS) berharap dapat memulakan program vaksinasi koronavirus menjelang akhir tahun ini, kata seorang pegawai kesihatan awam semalam ketika kes jangkitan melonjak di seluruh negara itu.

Permulaan program vaksinasi dapat menjadi titik tolak penting dalam memerangi virus yang meragut lebih 1.4 juta jiwa di seluruh dunia, termasuk 255,000 hanya di AS sahaja, sejak virus itu muncul di China hujung tahun lalu.

Keputusan memberangsangkan daripada ujian percubaan vaksin itu telah merangsang harapan untuk menamatkan pandemik, ketika negara-negara mengenakan semula sekatan dan perintah berkurung bagi memperlahankan penularan virus itu awal tahun ini namun telah menjejaskan kehidupan dan ekonomi di seluruh dunia.

Dua calon vaksin di hadapan – satu dari Pfizer dan rakan Jerman, BioNTech dan satu lagi dari firma AS, Moderna – telah menunjukkan keberkesanan 95 peratus dalam percubaan klinikal dan Pfizer sudah pun menggunakannya bagi kegunaan kecemasan yang mendapat kelulusan dari pihak berkuasa kesihatan AS.

“Perancangan kami adalah untuk mengedarkan vaksin ke tempat imunisasi dalam tempoh 24 jam selepas memperoleh kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS,” kata Moncef Slaoui, yang mengetuai pelan vaksin COVID-19 kepada CNN.

Beliau merujuk kemungkinan 11 hingga 12 Disember pihaknya akan dapat memulakan program vaksinasi itu.

Penasihat vaksin FDA akan bertemu pada 10 Disember untuk membincangkan persetujuan vaksin.

Slaoui menganggarkan 20 juta orang di seluruh AS akan diberi vaksin pada Disember ini, dengan 30 juta setiap bulan mulai Januari 2021.

Pakar penyakit berjangkit AS, Anthony Fauci, mengatakan “mungkin 20 juta orang akan dapat vaksin pada pertengahan hingga akhir Disember”, memberi amaran bahawa keadaan boleh menjadi lebih buruk sebelum menjadi lebih baik jika orang ramai gagal mengambil langkah berjaga-jaga pada musim percutian akan datang.

“Kami berada dalam situasi yang sangat sukar di semua peringkat,” katanya kepada ‘Face the Nation’ CBS. – AFP