WASHINGTON, 1 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam bersetuju untuk memperuntukkan satu trilion dolar bagi pelaburan awam dan swasta untuk membina semula apa yang beliau gelar infrastruktur Amerika yang reput.
Trump telah berjanji dalam ucapan kepada sesi bersama Kongres, dalam mengotakan salah satu janji utama kempen beliau – membina semula jalan raya Amerika, jambatan, lapangan terbang dan struktur awam lain.
“Untuk melancarkan pembinaan semula kebangsaan kita, saya akan meminta Kongres meluluskan perundangan yang menghasilkan pelaburan AS$1 trilion dalam infrastruktur AS – dibiayai melalui modal awam dan swasta – yang mewujudkan berjuta-juta pekerjaan baru,” kata Trump.
Beliau tidak memberi butiran tentang bagaimana wang akan dibelanjakan.
Trump berkata AS telah membelanjakan enam trilion dolar di Timur Tengah, beliau tidak menyatakan dibelanjakan untuk apa atau pada tempoh waktu bila, sementara infrastruktur AS merosot.

“Dengan enam trilion dolar ini kita boleh membina semula negara kita – dua kali. Dan mungkin malah tiga kali jika kita mempunyai orang yang mampu untuk berunding,” kata Trump, dengan mengulangi bahawa pentadbiran barunya akan lebih baik daripada yang sebelumnya pada mempertahankan kepentingan AS apabila menyentuh tentang berurusan.
Sekali lagi tanpa memberikan butiran, Trump berjanji akan memperkenalkan reformasi cukai ‘bersejarah’.
Menurutnya ini akan mengurangkan cukai korporat ke atas syarikat-syarikat AS, ’supaya mereka boleh bersaing dan berusaha di mana-mana dan dengan sesiapa pun. Pada waktu yang sama, kami akan menyediakan pengurangan besar cukai bagi kelas pertengahan.”
Beliau juga mengulangi janji untuk mengenakan cukai ke atas import produk asing untuk melindungi industri AS.
“Pada masa ini apabila kita menghantar produk keluar dari Amerika, banyak negara lain mengenakan cukai tarif dan cukai tinggi ke atas kita, tetapi apabila syarikat asing menghantar produk mereka Amerika, kita tidak mengenakan apa-apa atau hampir tidak ada,” kata Trump. – AFP