HONG KONG, 24 FEB – Hong Kong akan meluluskan dana 120 bilion dolar Hong Kong (AS$15.4 bilion) untuk membantu perniagaan dan penduduk yang terjejas akibat wabak koronavirus, ketika menjangkakan pertumbuhan ekonomi akhir tahun ini selepas mencatat kemelesetan pada tahun 2020.
Langkah diambil termasuk pelepasan cukai, pinjaman untuk pengangguran dan baucar penggunaan bertujuan untuk menstabilkan ekonomi, kata Menteri Kewangan Hong Kong Paul Chan dalam ucapan belanjawan hari ini. Beliau meramalkan ekonomi dijangka tumbuh 3.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini, berbanding penguncupan ekonomi 6.1 peratus pada tahun 2020.
Anggaran untuk tahun 2021 “bertujuan untuk meringankan kesusahan dan tekanan yang disebabkan oleh kemerosotan ekonomi dan wabak,” kata Chan.
Penduduk yang tidak bekerja boleh mendapatkan pinjaman berjumlah 80,000 dolar Hong Kong (AS$10,300) dalam program yang menangguhkan pembayaran untuk tahun pertama dan mengenakan faedah 1 peratus. Langkah itu dilakukan setelah Hong Kong pada minggu lalu melaporkan kadar pengangguran 7 peratus antara November dan Januari, yang tertinggi sejak April 2004.
Baucar bernilai 5,000 dolar Hong Kong (AS$645) juga akan dikeluarkan secara ansuran kepada penduduk untuk merangsang penggunaan. Perniagaan dan individu juga akan mendapat pengecualian cukai.
Chan mengatakan bahawa defisit fiskal Hong Kong berada pada rekod tertinggi, setelah kerajaan tahun lalu membelanjakan 300 bilion dolar Hong Kong (AS$38.7 bilion) untuk langkah-langkah sokongan, termasuk pemberian wang tunai kepada penduduk dan subsidi untuk perniagaan.
Beliau juga mengatakan bahawa ekonomi China ‘pada dasarnya kukuh’ walaupun timbul ketidakpastian akibat wabak itu serta dalam hubungan AS-China. Hong Kong, sebagai bandar raya separa autonomi China, akan mendapat manfaat daripadanya. – AP
