GENEVA, 1 MAC – Persekutuan Palang Merah Antarabangsa hari ini merayu dana lebih daripada AS$270 juta untuk membantu orang ramai yang terperangkap dalam konflik Ukraine, bimbang berjuta-juta orang dengan pantas terjerumus ke dalam penderitaan yang melampau.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata keadaan kemanusiaan di Ukraine semakin pantas merosot.
Pergerakan bersama tersebut berkata bagi memenuhi keperluan yang mendadak dan besar ini, kedua-dua organisasi bersama-sama merayu dana AS$273 juta. ICRC merayu untuk 150 juta franc Swiss untuk operasi 2022 di Ukraine dan negara-negara jiran.
“Konflik yang semakin memuncak di Ukraine membawa kesan buruk.
“Angka mangsa terus meningkat manakala kemudahan kesihatan berjuang untuk mengatasinya,” kata ketua pengarah ICRC, Robert Mardini.
Sementara itu, IFRC merayu 100 juta franc Swiss untuk menyokong Persatuan Palang Merah kebangsaan bagi membantu dua juta orang yang memerlukan.
Pasukan Palang Merah di lapangan cuba memberikan bantuan menyelamatkan nyawa termasuk barangan bantuan asas, bekalan perubatan dan tempat tinggal. – AFP
