PHNOM PENH, 13 NOV – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet hari ini mengumumkan pakej pinjaman AS$50 juta untuk menyokong pengendali pelancongan di wilayah barat laut Siem Reap, yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Kemboja yang dimiliki oleh kerajaan akan mengeluarkan pinjaman awal sebanyak AS$50 juta, dengan kadar faedah yang kompetitif, kepada pengendali pelancongan di wilayah Siem Reap,” katanya pada Forum Sektor Kerajaan-Swasta ke-19 di Phnom Penh.
Beliau menyatakan pengendali pelancongan memainkan peranan penting dalam membantu menarik pelancong antarabangsa ke negara itu, sambil menambah bahawa langkah itu adalah untuk menghidupkan semula sektor pelancongan di wilayah tersebut.
“Siem Reap telah mengalami kesan yang paling teruk antara semua destinasi pelancongan di Kemboja, jadi adalah penting bagi kerajaan untuk merangka strategi bagi menghidupkan semula sektor pelancongan di wilayah tersebut,” katanya.
Hun Manet berkata negara Asia Tenggara itu juga telah memulakan kempen khas Visit Siem Reap 2024 untuk memulihkan pelancongan di wilayah tersebut ke tahap sebelum pandemik. – Xinhua
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/11/P9-2A-Xinhua_14112023.jpg)