Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Asah bakat penulis muda

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah hari ini mengadakan Program Penulis Muda 2022 (Bengkel Penulisan Sajak) sebagai kegiatan tahunan peremajaan bakat sastera secara berterusan.

    Berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, ia juga merupakan kesinambungan dalam melahirkan dan mengasah bakat-bakat penulis muda yang dinamik, agresif dan kreatif sebagai usaha mengangkat sastera sebagai budaya tinggi.

    Bengkel Penulisan Sajak merupakan pusingan kedua bagi genre berkenaan yang sebelum ini diadakan pada 2021 dan kali ini ia berlangsung selama tiga hari sehingga 12 Oktober.

    Sepanjang bengkel, peserta dibimbing oleh Ketua II Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI), Haji Jawawi bin Haji Ahmad (nama pena HJR).

    Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin, selaku pengerusi dan pengasas Program Penulis Muda, dalam ucapannya antara lain berkata, “DBP akan terus memberikan ruang dan peluang kepada penggiat seni sastera dan aktivis sastera dari peringkat kanak-kanak, remaja dan dewasa melalui peraduan menulis sastera, bengkel sastera, penyaluran hasil karya penulis ke majalan sastera dan kegiatan seni sastera”.

    Beliau seterusnya menjelaskan, program yang telah berusia tiga tahun itu telah berjaya melaksanakan satu putaran lengkap bengkel penulisan.

    Program tersebut dilaksanakan dua peringkat iaitu peringkat pelaksanaan antara Januari hingga Jun dan peringkat kedua, antara Julai hingga Disember yang mana pada tahun ini, program sedikit terlewat dengan memfokuskan kepada Bengkel Penulisan Sajak manakala perancangan seterusnya dijangka akan mengendalikan Bengkel Penulisan Cerpen pada Disember depan, jelasnya.

    Dengan adanya bengkel itu, ia dihasratkan dapat menyuntik semangat penulis khususnya penulis muda dalam menerokai proses penulisan kreatif khususnya penulisan sajak.

    Peserta tahun ini terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, serta pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Haji Jawawi semasa mengendalikan bengkel tersebut yang dianjurkan oleh DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah. – Gambar serahan DBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...