Sunday, February 9, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asah kemahiran advokasi

    Oleh Sim Y. H.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Peserta Kursus Asas Advokasi Syariah adalah pemangkin masa hadapan sistem perundangan Negara Brunei Darussalam dan menjadi tonggak ke arah memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa terjamin.

    Oleh itu, pendedahan dan peningkatan advokasi iaitu pada peringkat praktikal perlu diberi keutamaan, tekan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam ucapan khas pada Majlis Pembukaan bagi Kursus Asas Advokasi Syariah yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, hari ini.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Onn; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, para pegawai kanan kerajaan dan peguam syarie.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapan khasnya menyatakan dengan meningkatkan kecekapan dan kemahiran dalam bidang advokasi adalah diharapkan ia akan dapat merangsang kebolehpasaran para peserta dalam mencari kerja atau pun bagi mereka yang sudah bekerja memperhebat kebolehpasaran kepada bakal klien-klien yang ingin mendapatkan khidmat peguam syarie.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin menyatakan Kursus Asas Advokasi Syariah adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memberikan para graduan perundangan syariah yang berkelulusan profesional peluang membangun dan mengasah kemahiran advokasi serta seterusnya sebagai persediaan menghadapi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seorang peguam syarie.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri Majlis Pembukaan bagi Kursus Asas Advokasi Syariah di Dewan Bankuet, JPM. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Beliau menggariskan Kursus Asas Advokasi yang julung kali diadakan pada 2022 telah menerima sambutan yang positif serta menggalakkan daripada para peserta dan juga pengamal undang-undang.

    Mengambil kira negara mempunyai dua sistem perundangan iaitu Sistem Perundangan Syariah dan Sistem Perundangan Sivil, maka kursus tersebut telah mencerminkan kepentingan serta kesaksamaan antara kedua-dua sistem berkenaan yang sentiasa menjaga keadilan dan due process.

    Beliau juga berharap semua peserta mengambil kesempatan berkenaan dan memanfaatkan ilmu yang disampaikan, mengambil kira mereka merupakan bakal pelapis masa depan dalam sektor perundangan syariah bagi mengukuhkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dengan penerapan konsep negara zikir yang menepati matlamat sebuah negara, Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur, iaitu negara yang aman makmur dengan mendapat keredaan serta pengampunan dari Allah SWT.

    Kursus dua hari itu dianjurkan oleh JPM dengan kerjasama Mahkamah Syariah, Bahagian Pendakwaan Syarie, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan peguam-peguam syarie.

    Para peserta kursus terdiri daripada graduan-graduan lepasan daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan dari universiti-universiti antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda