Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 30 APRIL – Lebih 300 pelajar dari sekolah-sekolah seluruh Daerah Belait menyertai aktiviti perpustakaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan, kelmarin sempena sambutan Hari Buku Sedunia.
Program yang berlangsung di Perpustakaan DBP Kampung Pandan itu dibahagikan kepada dua sesi, melibatkan penyertaan pelajar dari Sekolah St John, Sekolah St James, Sekolah Menengah Chung Hua, Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali pada sesi pagi. Manakala pada sesi petang pula disertai oleh pelajar dari Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien.
Antara pengisian utama program ialah sesi pembacaan senyap selama 10 minit dan senam aerobik literasi sebagai permulaan kepada pelbagai aktiviti menarik seperti mewarna kreatif, permainan meneka, detektif buku, ujian ejaan dan banyak lagi.
Aktiviti itu bukan sahaja merupakan acara berkala DBP, malah bertujuan menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran literasi mereka di luar bilik darjah melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif.