Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asal-usul tengkorak di sungai

    Oleh Edink –

    Cerita yang saya tuliskan ini bukan satu rekaan ataupun hendak menakut-nakutkan para pembaca dan ini tertakluklah kepada awda sendiri sama ada mahu percaya atau tidak.

    Saya kini berusia 29 tahun dan peristiwa yang akan saya paparkan ini terjadi semasa umur saya lapan tahun. Waktu itu keadaan kampung saya di Lambak Kiri sunyi kerana belum banyak rumah yang didirikan. Pokok-pokok besar kelihatan di sana-sini yang menyebabkan suasana sekeliling terlindung dari cahaya matahari dan nampak gelap.

    Pada suatu hari seperti biasa saya pulang sendirian selepas mengaji di surau. Rumah saya sangat jauh dari surau tersebut. Kawan-kawan sebaya masing-masing sudah sampai ke rumah. Tapi saya masih lagi keseorangan dan terpaksa melalui sebuah jambatan di atas anak sungai. Apabila saya berjalan di atas jambatan saya terdengar suara perempuan yang berkata: “Tolong saya cu, nenek sudah lama terjerat di dalam sungai ini.”

    Lepas itu suara itu ketawa sekuat-kuatnya. Saya dengan ketakutan lari sekuat hati saya.

    Apabila saya sampai di rumah ibu bapa saya hairan melihat saya. “Mengapa kau berlari lintang-pukang?” tanya bapa saya. Saya hanya mendiamkan diri dan merahsiakan kejadian itu. Begitulah setiap kali saya pulang dari mengaji saya mendengar suara aneh di atas jambatan tersebut.

    Foto Canva

    Pada malam berikutnya saya bertekad untuk mengetahui siapa gerangan yang punya suara itu. Selesai sahaja mengaji saya pun menceritakan kepada ustaz tentang suara itu. Oleh kerana ketakutan ustaz pun menghantar saya pulang.

    “Syaitan dan iblis sahaja yang selalu mengganggu,hantu tidak wujud.”kata ustaz. Apabila kami sampai di jambatan kami terlihat seorang perempuan menggendong anak damit.

    Perempuan itu berambut panjang,berpakaian serba putih dan kakinya tidak mencecah ke bumi sambil ia menundukkan kepalanya. Dia bersuara lagi seperti yang pernah saya dengar dahulu.

    “Siapa kamu ni?” soal ustaz.

    Perempuan itu ketawa lalu mengangkat kepalanya perlahan-lahan. Kelihatan mukanya buruk dan berpaling ke arah sungai. Dia seperti hendak memberitahu sesuatu. Setelah itu ustaz pun membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Lembaga itu pun hilang.

    Keesokan harinya orang kampung dimaklumkan supaya bersama-sama membersihkan persekitaran sungai itu. Pada tengah hari, salah seorang penduduk telah menjumpai beberapa tulang tengkorak. Lalu kami jenazahkan tengkorak tersebut.

    Menurut cerita orang kampung asal-usul tengkorak tersebut ialah seorang perempuan muda yang hilang beberapa tahun lalu. Perempuan itu hamil dan tidak ada orang bertanggungjawab ke atasnya. Lalu ia melarikan diri di tebing sungai dan kemungkinan ia tersangkut pada akar lalu jatuh ke sungai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda