ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
MENDAPAT sentuhan arahan Jamal Khan, Isteri-Isteri Ayah merupakan sebuah siri drama terbaru yang ditayangkan di slot Iris di saluran TV3.
Ia membariskan barisan pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Syazwan Zulkifly, Wan Sharmila, Liza Abdullah, Azza Elite, Faye Kusairi, Ira Ghani, Azad Jazmin, Eira Syazira, Rozie Othman, Sharifah Asyikin dan Watie Sadali.
Kisah bermula apabila rancangan Nizam lakonan Syazwan Zulkifly dan Farah lakonan Wan Sharmila untuk bercuti di Bali terpaksa di batalkan apabila Zakiah, ibu Nizam sakit tenat.
Kamal lakonan Datuk Jalaluddin Hassan, ayah Nizam berusaha untuk menunaikan hajat terakhir Zakiah yang teringin untuk menaiki kapal persiaran ke Phuket. Namun sayangnya, Zakiah pergi sebelum sempat dia menaiki kapal pelayaran tersebut.
Nizam dan Farah kesian melihat bapa mereka mengalami kemurungan kronik selepas kematian ibu mereka, lalu mereka menjemput ayahnya, Kamal untuk tinggal bersama mereka.

Pelbagai masalah mula timbul apabila Kamal menjadikan rumah mereka seperti rumah sendiri.
Kamal menjemput rakan-rakan niaganya untuk bermesyuarat di rumah mereka. Namun keadaan menjadi kacau bilau bila tiga wanita tiba-tiba muncul dan mendakwa bahawa mereka adalah isteri Abang Kamal.
Muncul seorang wanita bernama Wana lakonan Faye Kusairi mengaku isteri kepada Kamal. Nizam dan Farah terkejut kerana Kamal mengakui Wana adalah isterinya.
Setelah munculnya Wana yang tidak mahu pulang, Nizam dan Farah dikejutkan lagi dengan kemunculan dua lagi wanita iaitu Kak Ana lakonan Liza Abdullah dan Zana lakonan Azza Elite yang juga mengaku sebagai isteri ayahnya.
Nizam terkejut besar mendapat tahu yang selama ini ayahnya berkahwin lain. Lebih mengharukan, isteri-isteri yang lain tidak mengetahui mereka mempunyai madu lain selain arwah Zakiah.
Masing-masing tidak mahu mengalah dan tidak mahu keluar daripada rumah Nizam selagi Kamal tidak membuat keputusan siapakah diantara mereka yang akan diceraikan.
Bagi mengetahui keputusan Kamal sama ada ingin meneruskan kehidupan poligami setelah tembelangnya pecah atau menceraikan antara isteri-isterinya itu para penonton harus tetap setia untuk terus menonton siri drama Isteri-Isteri Ayah yang disiarkan di slot Iris pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang di saluran TV3.