Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asap dan wap daripada benda najis: adakah dihukumkan najis?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Permasalahan berkaitan najis merupakan salah satu perkara penting dalam kitab Fiqh kerana ia berkait rapat dengan ibadat seseorang terutama ibadat sembahyang. Ini kerana kesucian badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis merupakan syarat sah sembahyang.

    Oleh yang demikian, setiap muslim tidak boleh memandang remeh terhadap perkara najis kerana najis yang terkena pada badan, pakaian dan tempat sembahyang itu menghalang sahnya sembahyang.

    Walau bagaimanapun syarak telah menggariskan bahawa terdapat juga dalam keadaan-keadaan tertentu, najis boleh dimaafkan dan apabila berlaku sedemikian, maka sah sembahyang seseorang itu.

    Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripadanya.

    Contoh najis yang dimaafkan itu seperti darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.

    Bagaimana pula halnya dengan asap dan wap yang terbit atau terhasil daripada benda najis? Adakah ia juga dihukumkan najis atau sebaliknya?

    Asap yang terhasil daripada pembakaran benda najis adalah dihukumkan najis. – Agensi
    Jika asap yang terbit daripada pembakaran benda najis itu sedikit walaupun najis mughalladzah adalah dimaafkan jika pakaian yang terkena asap tersebut adalah pakaian yang tidak basah.

    Adakah asap dari pembakaran najis dihukumkan najis?

    Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi‘i, asap yang terbit daripada pembakaran benda najis dihukumkan najis.

    Ini kerana hukum asap yang berasal dari satu benda, maka hukumnya sama seperti benda itu.

    Jika asal bendanya suci, maka asapnya adalah suci. Jika asal bendanya najis, maka asapnya pun najis. Sebagai contoh, apabila asap daripada pembakaran benda najis terkena pada pakaian seseorang, maka pakaian itu menjadi mutannajis iaitu benda yang berlumuran dengan najis.

    Imam Ibnu Hajar al-Haithami Rahimahullah Ta‘ala, salah seorang ulama dalam mazhab Syafi‘i berpendapat jika asap yang terbit daripada pembakaran najis itu banyak, maka ia najis.

    Namun jika asap tersebut sedikit, maka ia dimaafkan dengan syarat orang yang terkena asap tersebut bukan kerana perbuatannya dan asap itu bukan berasal dari najis mughalladzah iaitu anjing dan babi.

    Walau bagaimanapun menurut sebahagian besar ulama mazhab Syafi‘i termasuk Imam ar-Ramli Rahimahullah Ta‘ala, jika asap yang terbit daripada pembakaran benda najis itu sedikit walaupun najis mughalladzah adalah dimaafkan dengan syarat:

    Tempat yang terkena asap tersebut tidak basah, sebagai contoh, pakaian yang terkena asap tersebut adalah pakaian yang tidak basah.

    Bukan disebabkan perbuatannya, iaitu seseorang yang terkena asap yang sedikit itu bukan kerana perbuatannya sendiri.

    Perkara ini dijelaskan dalam kitab I‘anah at-Thalibin syarh Fathul Mu‘in iaitu:

    “Dan dimaafkan yang sedikit-mengikut adat kebiasaan- asap najis, iaitu asap yang datang daripada najis melalui api (pembakaran), walaupun (asap) daripada kemenyan yang diletakkan di atas najis tahi, umpamanya.

    “Dan termasuk dalam kategori asap najis itu (asap yang terhasil dari bahan bakar yang najis) yang kebiasaannya digunakan untuk memanaskan air mandian atau sauna, maka itu adalah najis kerana ia termasuk daripada bahagian-bahagian najis yang dipisahkan oleh api daripada najis tersebut kerana kekuatannya (api itu).

    Dan dimaafkan yang sedikit daripada asap najis tersebut dengan syarat tempat yang kena itu tidak basah dan bukan kerana perbuatannya.

    Jika tidak (menepati dua syarat), maka tidak dimaafkan secara mutlak kerana disamakan kedudukan asap tersebut dengan kedudukan benda (najis) itu.”

    Imam as-Syarwani Rahimahullah Ta‘ala pula menjelaskan bahawa kadar sedikit atau banyak asap dapat diketahui melalui kesan yang terdapat pada benda yang terkena asap tersebut.

    Sebagai contoh, kekuningan yang melekat pada baju kesan daripada terkena asap; jika kekuningannya sedikit, maka asap itu adalah sedikit begitulah pula jika sebaliknya.

    Berdasarkan pendapat tersebut, kesan yang terdapat pada benda yang terkena asap yang terhasil dari pembakaran najis menjadi penentu adakah asap itu dianggap sedikit atau banyak.

    Oleh yang demikian, air yang terkena asap daripada najis adalah lebih utama dimaafkan kerana kesan asap yang melekat pada air itu tidak dapat diketahui.

    Dengan itu tidak dapat ditentukan adakah asap tersebut banyak atau sedikit.

    Berbeza dengan benda yang jelas kesan dan dapat diketahui kewujudan kesan tersebut dan dapat ditentukan banyak atau sedikit asap daripada najis itu.

    Bagi menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu pula ialah dengan merujuk kepada adat kebiasaan, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai banyak, maka dikira sebagai banyak.

    Adakah wap daripada najis dihukumkan najis?

    Apabila disebut mengenai wap pula, timbul kekeliruan adakah hukum wap daripada najis sama dengan hukum asap yang terhasil daripada najis?

    Untuk menentukan hukum tersebut, perlu dilihat terlebih dahulu apakah perbezaan di antara asap dan wap yang datang daripada najis; Asap daripada najis adalah sesuatu yang timbul daripada najis melalui pembakaran api.

    Manakala wap daripada najis pula ialah sesuatu yang naik atau timbul sendiri daripada najis bukan melalui pembakaran api.

    Maka ini dihukumkan suci. Sama juga halnya seperti bau yang datang daripada tempat tertutup atau daripada dubur, maka itu adalah dianggap suci.

    Jika terkena pada kain keseluruhannya, dan kain tersebut digunakan ketika mendirikan sembahyang, maka sah sembahyangnya.

    Walau bagaimanapun jika wap yang terhasil dari najis itu timbul melalui pembakaran api, maka ia dihukumkan najis kerana najis itu terkandung dalam wap dengan kekuatannya (api) kecuali jika wap itu sedikit, maka adalah dimaafkan.

    Oleh yang demikian, jelas bahawa asap yang terhasil daripada pembakaran benda najis adalah dihukumkan najis.

    Kecuali jika asap tersebut sedikit sebagaimana anggapan mengikut kebiasaan masyarakat, maka adalah dimaafkan dengan syarat tempat yang terkena asap itu tidak basah dan bukan kerana perbuatan orang yang terkena asap itu sendiri.

    Manakala wap dari najis yang bukan terhasil daripada pembakaran api, maka ia adalah suci.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda