DENVER, 21 MEI – Asap daripada berpuluh-puluh kebakaran hutan yang marak di barat Kanada telah merebak ke selatan ke Amerika Syarikat (AS) dan mendorong negeri Colorado dan Montana mengeluarkan amaran kualiti udara.
Jabatan Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Colorado mengeluarkan amaran dan nasihat untuk petang Sabtu hingga petang Ahad di sebahagian besar bahagian timur negeri itu, termasuk Denver. Ia memberi amaran bahawa kualiti udara mungkin tidak sihat dalam tempoh itu.
“Orang yang mempunyai penyakit jantung atau paru-paru, warga emas dan kanak-kanak harus mengelak daripada melakukan senaman yang berpanjangan atau berat; orang lain harus mengurangkan kerja berat yang berpanjangan,” kata jabatan itu.
Pencemaran zarah menyebabkan indeks kualiti udara di sepanjang kawasan Front Range mencecah 168 semalam, kata jabatan itu. Bacaan antara 151 dan 200 menunjukkan keadaan tidak sihat yang boleh menjejaskan kumpulan sensitif serta sesetengah orang awam.
Amaran kualiti udara juga berkuat kuasa semalam di Montana, dengan kepadatan asap terbesar di bahagian tengah dan timur negeri itu, menurut Jabatan Kualiti Alam Sekitar.
Di Calgary dan Edmonton, dua bandar terbesar di Alberta, impak kesihatan ditentukan sebagai ‘berisiko sangat tinggi’ semalam oleh Indeks Kesihatan Kualiti Udara kerajaan Kanada.
Kumpulan sensitif seperti kanak-kanak dan orang tua dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti fizikal di luar dan penduduk digesa mengehadkan aktiviti luar. – AP