Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asbab satu pemberian

    KURNIAAN Allah SWT tidaklah datang kepada kita kecuali dengan sesuatu sebab. Begitu juga kurniaan-Nya tidaklah hilang dan terputus daripada kita kecuali dengan sesuatu sebab juga.

    Tokoh ulama Islam, Syeikh al-Buthi, pernah berkata, sebagaimana yang telah dimaklumi, Maha Pencipta menjadikan kita berada dalam keadaan asbab iaitu sebab atau punca.

    Oleh itu, alam sebab ialah alam sebab musabab iaitu kita perlu melakukan sesuatu yang sesuai untuk mendapatkan sesuatu yang sesuai bagi mendapatkan tujuan.

    Antaranya seperti makan dan minum untuk menghilangkan lapar dan dahaga, bekerja untuk mendapatkan sumber kehidupan serta berubat untuk merawat penyakit dan sebagainya.

    Pada hakikatnya, makhluk tidak memberi apa-apa. Hanya Allah memberi apa yang dikehendakiNya kepada sesiapa juga yang dikehendakiNya.

    Justeru, sekiranya seseorang hamba mengharapkan pemberian makhluk dan bimbang ketiadaannya, maka perkara tersebut akan menghalangnya daripada taqarrub iaitu hubungan yang kuat lagi erat seorang hamba kepada Allah.

    Dalam hal ini mengasihi makhluk dan bergantung hati kepada mereka boleh mengundang kelalaian dan hilangnya makrifat (ilmu pengetahuan pada tahap tinggi) kepada Ilahi.

    Apabila Allah tidak memberi kepada seseorang hamba itu apa yang dihajati atau tidak menerima sesuatu permohonan, ia sebenarnya suatu ihsan dan kurniaan yang baik untuk individu tersebut.

    Ini kerana, perkara berkenaan akan mendorong hamba itu bermunajat kepada Allah dengan penuh kesungguhan dan ubudiyyah yang bererti pengabdian kepada Allah.

    Dalam hadis yang diriwayatkan al-Bukhari, Muslim, Ahmad, at-Tirmizi dan an-Nasa’i itu menyatakan, Rasulullah sendiri pernah memberi nasihat kepada Hakim bin Hizam yang meminta pemberian daripada baginda tiga kali, lalu Baginda memberi kepadanya dan berkata:

    Ketamakan harta

    “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini (indah tetapi akan binasa dengan mudah, sama seperti) tumbuhan hijau yang manis (dan lazat).

    Sesiapa yang mengambil harta ini dengan haknya (dengan cara yang halal dan menunaikan haknya), nescaya akan diberkati baginya.

    Sesiapa yang mengambil harta dengan rasa tamak (sehingga menjadi bakhil dan kedekut), nescaya tidak akan diberkati baginya dan dia akan menjadi seperti orang yang makan tetapi tidak kenyang. Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah.”

    Nabi Muhammad juga pernah bersabda yang bermaksud: “Kalaulah seorang anak Adam ada satu lembah harta, nescaya dia akan menuntut dan mencari satu lembah lagi.”

    “Kalaulah dia mempunyai dua lembah harta, nescaya dia akan menuntut dan mencari yang ketiga. Padahal rongga badan anak Adam tidak akan dipenuhi kecuali dengan tanah (kuburnya selepas mati nanti. Allah menerima taubat daripada sesiapa yang bertaubat.”

    Sesungguhnya, sesiapa yang bergelumang dengan dunia tanpa mengira halal dan haram serta mengikut hawa nafsunya, maka sudah pasti kehidupannya menjadi sempit dan keberkatan akan hilang daripadanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda