Tuesday, November 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asbut toksik makin teruk, New Delhi tutup sekolah

    NEW DELHI, 18 NOV – Ibu kota India, New Delhi, menutup sekolah dan beralih kepada kelas dalam talian hari ini sehingga dimaklumkan kelak susulan asbut toksik yang semakin teruk dan melepasi 60 kali had maksimum harian yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Pelbagai inisiatif kerajaan yang dilaksanakan secara berperingkat gagal memberikan kesan yang ketara terhadap masalah tersebut, dengan kabus tersebut dikaitkan dengan ribuan kematian pramatang setiap tahun dan memberi kesan buruk kepada kesihatan kanak-kanak serta warga emas.

    Tahap pencemaran PM2.5 – mikropartikel kanser berbahaya yang memasuki aliran darah melalui paru-paru – mencapai 907 mikrogram per meter padu pagi hari ini, menurut pemantauan IQAir, dengan bacaan di atas 15 dalam tempoh 24 jam dianggap tidak sihat oleh WHO.

    Stesen pemantauan individu mencatatkan tahap yang lebih tinggi – satu stesen merekodkan pencemaran PM2.5 pada 980, 65 kali ganda dari had maksimum WHO.

    “Selama beberapa hari ini, mata saya terasa pedih,” kata Subodh Kumar, 30, seorang penarik lanca.

    Seorang buruh berjalan melintasi ladang yang diselubungi kabus tebal di Jalandhar kelmarin. – AFP

    “Tak kira ada pencemaran atau tidak, saya terpaksa berada di jalan raya, ke mana lagi saya nak pergi?” katanya, sambil berhenti sejenak untuk makan sarapan di sebuah gerai tepi jalan.

    “Kami tiada pilihan untuk tinggal di dalam rumah. Mata pencarian, makanan, dan kehidupan kami semuanya di luar.”

    Asbut tebal berwarna kelabu dan tajam menyelubungi bandar ini, dengan IQAir mengklasifikasikan keadaan sebagai ‘berbahaya’.

    Setiap tahun, bandar tersebut diliputi kabus beracun, yang kebanyakannya dikaitkan dengan pembakaran jerami oleh petani di kawasan berhampiran untuk membersihkan ladang mereka bagi tujuan membajak, serta asap daripada kilang-kilang dan kenderaan.

    Satu laporan oleh The New York Times bulan ini, berdasarkan sampel yang diambil sepanjang lima tahun, mendedahkan asap berbahaya juga datang dari loji tenaga yang membakar sampah dari gunung sampah bandar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda