MADRID, 11 NOV – Atletico Madrid akan diletak di bawah pemilik baharu selepas syarikat pelaburan sukan global Apollo Sports Capital (ASC) mencapai persetujuan untuk menjadi pemegang saham majoriti, umum kelab La Liga Sepanyol itu kelmarin.
Perjanjian itu diumumkan selepas ASC mencapai persetujuan dengan kelab itu dan tiga pemegang saham utama mereka, Miguel Angel Gil Marin, Enrique Cerezo, Quantum Pacific Group dan dana yang diuruskan oleh Ares Management.
Menurut akhbar Sepanyol, Atletico telah dinilai pada 2.5 bilion euro (AS$2.89 bilion).
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Miguel Angel Gil dan Enrique Cerezo akan terus menerajui Atletico Madrid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden serta akan kekal sebagai pemegang saham, memastikan kesinambungan dan visi projek serta kepimpinannya,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Gil Marin merupakan pemegang saham majoriti Atletico dengan Holdco, sebuah syarikat yang mengawal kelab itu dengan 70.39 peratus pegangan, manakala Quantum Pacific, sebuah syarikat British yang ditubuhkan oleh hartawan Israel, Idan Ofer, memegang 27.81 peratus.
Dalam Holdco, Gil Marin memegang 50.82 peratus saham, tetapi Ares Management mempunyai 33.96 peratus dan Cerezo memiliki 15.22 peratus. – AFP


