Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASCC tangani jurang, cabaran

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Tindakan inklusif dan holistik yang dilaksanakan badan-badan sektoral Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) dalam menangani jurang dan cabaran dihadapi rantai ini amat dihargai.

    Penghargaan itu ditekankan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku pengerusi Mesyuarat ASCC ke-26 yang berlangsung secara maya hari ini.

    Turut hadir pada mesyuarat itu ialah menteri-menteri ASCC atau wakil dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi serta para delegasi.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, antara jurang dan cabaran yang dihadapi rantai ini ialah bidang-bidang kesihatan awam, perlindungan sosial, berita palsu dan ketidaksahihan maklumat, kemerosotan alam sekitar dan krisis iklim. Para menteri juga menyatakan bahawa rekomendasi Kajian Separuh Penggal ASCC Blueprint 2025 telah membantu ke arah memajukan usaha pembangunan Komuniti ASEAN dengan menyelaraskan pelaksanaan blueprint dengan Rangka Kerja Sektoral ASCC pasca-2020 dan ASEAN Comprehensive Recovery Framework (ACRF) serta pelan pelaksanaannya.

    Yang Berhormat Dato ketika berucap turut mengetengahkan dengan adanya semangat kebersamaan, ASEAN sentiasa bangkit menghadapi cabaran ke arah mencapai kelestarian dan kedayatahanan masyarakatnya dan dalam masa yang sama, mempersediakan rantau ASEAN bagi masa hadapan. Ini juga selaras dengan objektif utama kepengerusian Negara Brunei Darussalam di bawah tema We Care, We Prepare, We Prosper, yang menekankan hubungan ASEAN dengan masyarakatnya, yang mana tiada sesiapa pun yang tertinggal.

    Beliau turut mengongsikan bahawa beberapa kemajuan dan usaha yang dilaksanakan oleh tunggak ASCC dapat dilihat di sepanjang tahun ini, khususnya sebagai tindak balas terhadap usaha pasca-pandemik COVID-19 manakala pendekatan Whole-of-ASEAN ke arah merealisasikan komitmen dalam mengukuhkan tindak balas bersama, dapat dilihat melalui pendekatan kepelbagaian dimensi ASCC.

    Para menteri turut mengesahkan rangka kerja Strategic Policy Framework on Promoting an Adaptive ASEAN Community of Greater Understanding, Tolerance and a sense of Regional Agendas Among the Peoples of ASEAN sebagai salah satu dokumen hasil yang akan dihadapkan ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-38, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa dengan memanfaatkan sifat keprihatinan ASEAN, ini pastinya akan dapat memberikan makna yang lebih besar terutamanya bagi usaha-usaha pasca-pandemik.

    Rangka kerja juga disepakati oleh para menteri ASCC dan mengesahkan Joint Statement of The Twenty-Sixth ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) Council dan mengalu-alukan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN 2022.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa mempengerusikan mesyuarat ASCC ke-26. – Gambar serahan Kem. Kebudayaan, Belia dan Sukan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda