BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) mendesak para pemimpin ASEAN untuk mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan rantai bekalan makanan tidak terganggu, memantapkan fasiliti perdagangan di seluruh ASEAN dan merancang pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur untuk mengembalikan keyakinan pasaran.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, ASEAN BAC memuji pemimpin-pemimpin ASEAN di bawah Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc kerana menganjurkan sidang kemuncak khas melalui persidangan video pada 14 April untuk mengumpulkan tindak balas kolektif ASEAN yang sangat dinanti-nantikan ketika menangani wabak penyakit koronavirus 2019.
Pada masa-masa yang paling mencabar ini, keberkesanan multilateralisme telah diuji, ASEAN BAC berharap bahawa seruan untuk menjadikan ASEAN kohesif dan responsif akan tercapai dalam saat penentuan ini.
ASEAN BAC menyatakan bahawa mereka berpuas hati dan mengambil perhatian terhadap prinsip, elemen dan haluan-haluan yang terkandung dalam deklarasi yang akan memimpin ASEAN ke hadapan.
“Kami juga mengambil perhatian dengan menghargai nisiatif dan langkah berbeza yang diambil oleh negara-negara anggota ASEAN dalam menangani keperluan mereka yang paling terdedah terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti yang ditekankan oleh Sekretariat ASEAN,” tambah ASEAN BAC dalam kenyataan itu.
Dari segi ekonomi, ASEAN BAC menghargai dan menyokong pengesahan pemimpin-pemimpin ASEAN terhadap komitmen mereka untuk mengambil tindakan kolektif dan dasar-dasar setara dalam meringankan impak ekonomi dan sosial akibat pandemik berkenaan, melindungi kesejahteraan rakyat dan mengekalkan kestabilan sosioekonomi.
Bagaimanapun, tambah kenyataan, dalam masa yang tidak pernah berlaku dan luar biasa ini memerlukan tindakan berani dan tegas untuk mewujudkan keyakinan dan memberi jaminan kepada pasaran, perniagaan-perniagaan dan penduduk di peringkat kebangsaan dan lebih-lebih lagi di peringkat serantau.
“Pada masa yang kritikal ini, kita perlu bekerjasama dan secara beransur-ansur menggerakkan semula ekonomi ASEAN dengan mempertimbangkan semua isu berkaitan sains dan kesihatan yang kritikal dalam peralihan sensitif seumpamanya,” tambah kenyataan.
Sementara ASEAN BAC dan rakan-rakannya bersatu dengan para pemimpin dalam usaha membendung COVID-19, sektor swasta mengemukakan beberapa perkara untuk pertimbangan segera para pemimpin.
Ini termasuk menjamin keselamatan makanan, pembukaan ekonomi secara beransur-ansur, memudah cara perdagangan, jaring keselamatan sosial, penubuhan Dana Pemulihan Pandemik ASEAN, meratifikasikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secepat mungkin dan mendengar suara sektor swasta dalam pelan pemulihan ekonomi selepas pandemik yang telah dinyatakan para pemimpin ASEAN.
Kenyataan menekankan, ASEAN BAC dan rakan-rakannya bersedia untuk membantu ASEAN dalam menguruskan langkah-langkah jangka pendek berkenaan bagi pelaksanaan efektif.