JAKARTA, 17 MAC – ASEAN mempunyai sumber mencukupi untuk menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dunia dengan keluaran dalam negara kasar KDNK mencecah AS$3.36 trilion pada 2021 dan populasi 650 juta orang, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto.
Perdagangan antara ASEAN dan rakan kongsinya juga telah berkembang dengan ketara, mencecah 34 peratus sejak dekad lalu manakala pelaburan asing yang mengalir ke ASEAN pada 2021 mencecah AS$179 bilion, menurut agensi berita Vietnam (VNA).
Majoriti negara ASEAN mempunyai kadar inflasi di bawah paras global.
Beliau berkata bahawa Indonesia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini menetapkan 16 Keutamaan Ekonomi Boleh Dicapai (PED) yang dibahagikan kepada tiga pemacu strategik termasuk pemulihan-pembinaan semula, ekonomi digital dan kemampanan.
Strategi utama Indonesia untuk meningkatkan integrasi ekonomi dan mengukuhkan daya saing demi menjadikan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dunia ialah transformasi digital dengan meluaskan urus niaga mata wang tempatan serta mempercepatkan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Bagi menggalakkan peningkatan pencapaian ini, Airlangga berkata ASEAN perlu memanfaatkan pelbagai kerjasama ekonomi di rantau ini, baik dalam bentuk perjanjian perdagangan bebas ‘ASEAN plus 1’ dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Airlangga menegaskan ASEAN perlu meningkatkan agenda kemampanannya melalui pembangunan tenaga boleh diperbaharui trans-ASEAN seperti tenaga solar, kuasa hidro, ekosistem kenderaan elektrik, dan rangka kerja ekonomi lestari serantau. – Bernama