KUALA LUMPUR, 26 Julai – ASEAN dijangka mendapat faedah daripada aktiviti di sepanjang koridor Jalur dan Laluan China, berikutan kedudukan geografi, hubungan sejarah dengan China, akses kepada sumber dan status pasaran pesat membangun.
Ahli ekonomi United Overseas Bank Bhd (UOB Malaysia) Julia Goh berkata negara-negara ASEAN juga mempunyai kelebihan dagangan dengan China, dengan lebih separuh daripada 10 rakan dagang utama negara itu dari rantau ini.
“China, di bawah inisiatif jalur dan laluan, juga mempunyai pelbagai pengaturan dan perjanjian untuk membantu memupuk kerjasama ekonomi yang lebih besar dengan ASEAN.
“Ini termasuk Koridor Ekonomi Semenanjung China-Indochina (satu daripada enam koridor ekonomi dalam wawasan inisiatif jalur dan laluan), Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dan Kerjasama Kapasiti Pengeluaran ASEAN dan China untuk sektor maritim, pembangunan pelabuhan, sambungan, sektor pelancongan, kesihatan dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pembangunan berkaitan infrastruktur dalam pengangkutan laut/darat /udara, tenaga, air, komunikasi maklumat dan saluran paip akan menjadi bidang pertama yang mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.

“Dengan infrastruktur yang lebih baik dan sambungan global yang lebih luas, kami berharap dapat menyaksikan peningkatan dalam permintaan untuk perkhidmatan berkaitan pelancongan dalam industri seperti makanan dan minuman, hospitaliti, rekreasi dan hiburan, membeli-belah, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Inisiatif Jalur dan Laluan, dalam ekonomi global yang semakin berpecah-belah, akan menggalakkan kerjasama dan pembangunan bersama.
“Ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan aliran pengeluaran dan integrasi pasaran untuk mencapai pembangunan mampan, bebas dan seimbang. Oleh itu, inisiatif itu akan membawa aktiviti ekonomi ke tahap yang lebih tinggi dalam kalangan negara peserta,” kata Goh. – Bernama