PHNOM PENH, 26 JAN – Kebimbangan besar yang menyelubungi latar belakang kemakmuran ekonomi ASEAN, selain perubahan iklim ialah penurunan kadar kelahiran dan kesuburan yang boleh mengganggu prospek pertumbuhannya.
Memandangkan lebih sedikit anak damit yang dilahirkan di Asia Tenggara akibat perubahan gaya hidup dan urbanisasi, keadaan itu boleh menjadi masalah terhadap produktiviti ekonomi.
Walaupun ASEAN merupakan sebuah rantau yang padat dengan kira-kira 670 juta penduduk, kerajaan di Asia Tenggara perlu menangani peralihan demografi kepada populasi yang semakin tua dan penurunan kadar kelahiran, menurut pakar.
Menurut laporan ASEAN Key Figures 2023, ASEAN merupakan rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia, selepas India dan China.
Timbalan Editor ASEAN Briefing, Ayman Falak Medina berkata perubahan iklim dan penurunan kadar kelahiran adalah isu yang perlu diberi perhatian bagi memastikan prospek pertumbuhan rantau ini.
“Walaupun perubahan iklim akan menjadi cabaran untuk ASEAN, saya percaya cabaran lebih besar adalah menangani penurunan kadar kelahiran dan kesuburan kerana ia akan memberi kesan kepada produktiviti keseluruhan, seterusnya keupayaan setiap negara untuk menangani perubahan iklim.
“Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia semuanya sedang mengalami perubahan demografi disebabkan populasi yang semakin tua,” katanya kepada Bernama melalui temu bual e-mel. (ASEAN Briefing ialah penerbitan oleh firma perkhidmatan korporat antarabangsa, Dezan Shira and Associates.) – Bernama