KUALA LUMPUR, 24 Jan – Negara anggota ASEAN mencatatkan kemajuan yang perlahan dan tidak sekata ke arah integrasi sektor perbankan serantau, kata Fitch Ratings.
Agensi penarafan itu berkata langkah seterusnya dijangka masih perlahan-lahan dan matlamat integrasi kewangan serantau sepenuhnya kelihatan masih jauh untuk dicapai.
Fitch berkata sekatan rendah bagi pemilikan bank rentas sempadan akan menyediakan sistem perbankan yang kurang modal dengan pelabur yang ramai dan boleh menyokong usaha penggubal dasar dalam pengukuhan sektor di sesetengah negara.
“Kami juga menjangka peningkatan pemilikan rentas sempadan untuk menyokong akses kepada sistem pengurusan risiko terkini dan teknologi kewangan (fintech) dan merangsang peningkatan tadbir urus dalam tempoh jangka panjang,” kata agensi penarafan itu.
Sementara itu, Fitch juga berkata bank-bank ASEAN yang lebih kukuh akan mendapat peluang untuk pengembangan.
Rangka kerja integrasi perbankan ASEAN (ABIF), yang diperakui pada Disember 2014, membayangkan bank-bank ASEAN yang berkelayakan akhirnya akan dibenarkan beroperasi dengan bebas di rantau ini.
“Bagaimanapun, ABIF menyedari yang sesetengah sistem perbankan lebih bersedia untuk bermula berbanding yang lain dan integrasi yang lebih besar akan menyebabkan risiko kewangan melimpah merentasi sempadan sekiranya institusi kawal selia yang sewajarnya tidak disediakan,” kata agensi itu.
ABIF menggariskan bahawa ASEAN-5 (Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand) harus setiap satu sekurang-kurangnya mempunyai satu perjanjian ABIF dua hala tahun depan untuk membolehkan akses bank-bank terpilih ke setiappasaran antara satu sama lain.
Semua negara ASEAN perlu mempunyai satu perjanjian hampir selesai menjelang 2020. – Bernama