Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN digesa wujud program belia

    KUALA LUMPUR, 29 Nov – ASEAN harus melahirkan program untuk belianya atas inisiatif sendiri bagi mewujudkan kesedaran yang berkesan dengan mendekati lebih ramai golongan muda dan membangunkan minat berpanjangan dalam kalangan kumpulan sasaran itu.

    Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata masanya adalah tepat untuk ASEAN memiliki program sedemikian bagi menyokong misi 10 negara anggota blok itu ke arah keterangkuman Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat.

    “Belia adalah antara komponen paling utama di mana-mana negara. Terdapat banyak bakat dalam kalangan orang muda di ASEAN, oleh itu, kerajaan negara anggota perlu menyediakan pemudah cara bagi membolehkan golongan belia mempamerkan potensi sebenar mereka.”

    Saifuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di ‘The ASEAN Post Inaugural Forum: Reimagining Southeast Asia 2018’ di sini hari ini.

    Merujuk kejayaan Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun, atau lebih dikenali sebagai SSEAYP, sebuah program pertukaran belia tahunan anjuran Pejabat Kabinet Jepun dan kerajaan negara-negara Asia Tenggara, menteri itu berkata ASEAN berpotensi melakukan lebih banyak lagi dalam bidang ini dengan memiliki program yang dimulakannya sendiri, berbanding sekadar terlibat dalam kerjasama dengan Rakan Dialog serta rakan karib.

    “SSEAYP sememangnya satu program yang bijak dan amat berjaya namun tidak dilahirkan di ASEAN. Kita turut memiliki Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara yang ditaja oleh Amerika Syarikat (YSEALI) serta banyak lagi termasuk yang dianjurkan oleh AirAsia serta sektor perniagaan lain. Ia sudah lama wujud namun kita boleh melakukan lebih banyak lagi dalam hal ini,” katanya.

    Mengulas lanjut mengenai SSEAYP, yang memberi peluang kepada lebih 300 belia dari Asia Tenggara dan Jepun bergaul di atas kapal Nippon Maru selama lebih 40 hari, Saifuddin berkata program jangka panjang sedemikian harus turut dilaksanakan.

    “Terdapat banyak program di ASEAN yang dianjur oleh pertubuhan belia ASEAN selain menerusi platform menteri-menteri ASEAN. Kerap kali kesemua program tidak bertahan lama.

    “Kita belum lagi berjaya melahirkan sebuah program sebaik SSEAYP yang mampu bertahan lama,” katanya.

    Program SSEAYP mula dilaksanakan pada 1974.

    Saifuddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darrell Leiking adalah antara penceramah dalam sesi panel mengenai topic bertema ‘ASEAN 2025: Reimagining Southeast Asia’, yang berlangsung sebelum itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda