Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN, EU komited tingkat hak harta intelektual

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – ASEAN terus komited bagi kerjasama dengan Pejabat Harta Intelektual Kesatuan Eropah (EUIPO) dalam usaha untuk meningkatkan lagi integrasi serantau menerusi pengurusan, perlindungan dan penguatkuasaan Hak Harta Intelektual (IPR).

    Pada masa yang sama, ASEAN turut menyatakan penghargaan kepada pihak EUIPO dalam memastikan Program Arise + Intellectual Property Rights (IPR) adalah selaras dengan Pelan Tindakan IPR ASEAN 2016-2025.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Projek Arise + IPR dan Ketua Pengarah Harta Intelektual Indonesia, Dede Mia Yusanti semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Sub-Projek, Projek Arise + IPR yang berlangsung di Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa, hari ini.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Projek Arise + IPR dan Ketua Bahagian Operasi, Delegasi EU ke Thailand, Jerome Pons, Ketua Kumpulan EU (EUIPO), Antonio Berenguer, ketua-ketua delegasi dan delegasi dari pejabat-pejabat harta intelektual (IP) negara-negara anggota ASEAN.

    Sementara itu, Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke ASEAN, Francisco Fontan dipetik menyatakan bahawa hak IP merupakan nadi kepada pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi moden ASEAN dan EU di mana ia mampu untuk mempromosi inovasi, menjana pekerjaan dan mengukuhkan lagi daya saing.

    Ketua-ketua delegasi dan perwakilan pejabat IP ASEAN serta EUIPO yang menghadiri mesyuarat berkenaan bergambar ramai.
    Dede Mia Yusanti menyampaikan kata alu-aluannya semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Sub-Projek, Projek Arise + IPR yang berlangsung di Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa, kelmarin.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa EU amat bangga kerana dapat menyokong inisiatif baru berkenaan yang setentunya akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua rantau berkenaan menerusi usaha ke arah pembangunan kapasiti, penyelarasan standard serta pembangunan mampan.

    Program Arise + IPR merupakan program yang dilaksanakan oleh EUIPO di mana menerusi kerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN dan sektor swasta, dalam tempoh lima tahun akan datang, projek itu dihasratkan dapat menjana sistem IPR yang teguh dengan memberikan sokongan kepada pejabat-pejabat harta intelektual ASEAN untuk memberikan perkhidmatan rekaan dan tanda perdagangan yang berkualiti, tepat pada masanya dan mudah diakses.

    Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk mengukuhkan lagi Komuniti Ekonomi ASEAN dengan menjana platform dan infrastruktur, menjana mekanisme serantau untuk mempromosi penjanaan aset dan perniagaan dengan tumpuan khusus kepada petunjuk geografi (GI) serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan IP dan nilainya kepada ekonomi negara serta untuk perniagaan.

    Arise + IPR memperkukuhkan lagi kerjasama yang erat antara Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara ASEAN di mana program itu akan membantu ASEAN untuk mencapai matlamat yang digariskan dalam Pelan Tindakan IPR ASEAN 2016-2018. Projek itu juga dihasratkan untuk menyokong integrasi ekonomi dalam rantau ASEAN menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015.

    Langkah seterusnya bagi program dan projek berkenaan daripada segi kegiatan serantau ialah menyasarkan ASEAN untuk mempromosikan penyelarasan serantau, penyatuan amalan, koordinasi dan kerjasama.

    Salah satu keutamaan bagi Arise + IPR ialah untuk menyokong pejabat-pejabat IP ASEAN dalam objektif untuk memperbaiki perkhidmatan yang diberikan kepada para pengguna dan pihak-pihak yang berkepentingan.

    Projek itu juga akan menyelaraskan lagi kesemua amalan terbaik pejabat-pejabat IP ASEAN dan menyokong usaha pejabat-pejabat IP berkenaan dalam membangunkan garis panduan penilaian bersama dan mempromosikan penggunaan satu garis panduan ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda