KUALA LUMPUR, 1 Mac – Perbincangan lanjut mengenai kemungkinan meng hidupkan semula Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kesatuan Eropah (EU), akan diadakan di Singapura, esok.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata ini merupakan antara topik perbincangan dalam Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dengan Pesuruhjaya Perdagangan EU ke-16 yang akan dipengerusikan bersama oleh Pesuruhjaya Perdagangan EU, Cecilia Malmström.
Agenda dengan pihak EU itu adalah bersempena Pemukiman AEM ASEAN ke-24 dan Mesyuarat Berkaitan di Singapura yang bermula semalam.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut kementerian, sesi itu turut membabitkan perbincangan mengenai pelaksanaan program kerja perdagangan dan pelaburan ASEAN-EU 2017-2018, kepentingan hubungan ASEAN-EU dan pertukaran pendapat mengenai perkembangan terkini ekonomi peringkat global dan serantau.
Selain itu, Mesyuarat Peringkat Menteri membabitkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan diadakan pada 3 Mac.
Kalangan menteri RCEP itu juga dijangka membincangkan usaha mempercepatkan proses rundingan, khususnya akses barangan ke pasaran, perkhidmatan dan pelaburan serta peraturan bagi pemudahan perdagangan serta pelaburan bagi menyokong pengembangan dan pengukuhan rantaian nilai serantau.
Sementara itu, sesi Pemukiman AEM dan Mesyuarat Berkaitan akan turut menyaksikan perkongsian pandangan serta perbincangan mengenai 12 keutamaan ekonomi bersempena peranan Singapura sebagai Pengerusi ASEAN, pemantauan dan penilaian kerangka pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta perkembangan terbaharu hubungan luar ASEAN. – Bernama