Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN, EU utamakan harga karbon, pembiayaan hijau

    LANGKAWI, 5 SEPT – Penetapan harga karbon dan pembiayaan hijau muncul sebagai keutamaan utama dalam kerjasama ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) mengenai tindakan iklim, ketika kedua-dua pihak berusaha menyelaras kelestarian alam sekitar dengan pertumbuhan ekonomi.

    Pesuruhjaya Eropah bagi Iklim, Sifar Bersih dan Pertumbuhan Hijau, Wopke Hoekstra, berkata penetapan harga karbon merupakan antara instrumen paling berkesan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan boleh disesuaikan dengan konteks ASEAN, sambil merujuk kepada pengalaman EU selama dua dekad dengan sistem perdagangan pelepasannya (ETS).

    “Antara perkara paling berkesan yang boleh dilakukan manusia ialah meletakkan harga pada apa yang kita lepaskan ke udara. Terdapat minat besar di ASEAN untuk bergerak ke arah ini dan rasa kerjasama serta kesatuan itu amat baik,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) ke-18.

    Hoekstra berkata ASEAN boleh mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan matlamat iklim, dengan mencontohi rekod EU yang berjaya mengurangkan pelepasan sebanyak satu pertiga sambil mengembangkan ekonominya sebanyak 70 peratus dalam tempoh dua dekad lalu.

    “Ini membuktikan ia boleh dilakukan. Dengan teknologi seperti solar, angin dan geoterma, peluang itu tersedia. Ia bukan sahaja peluang iklim malah peluang kewangan,” katanya.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Eropah bagi Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Kitaran Berdaya Saing, Jessika Roswall, menekankan bahawa peralihan hijau dan daya saing harus dilihat sebagai saling melengkapi dan bukannya bercanggah. – Bernama

    Pesuruhjaya Eropah bagi Iklim, Sifar Bersih dan Pertumbuhan Hijau, Wopke Hoekstra, ketika berucap di Brussels, Beligum, pada 2 Julai lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda